Kerajaan akan merujuk permintaan Zarena Abd Majid untuk menukar agamanya kepada Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM), kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahad lepas, pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Selangor JAIS, menyerbu majlis perkahwinan Zarena di sebuah kuil Hindu di Shah Alam.

Zarena, 32, dibawa ke ibu pejabat JAIS untuk direkodkan kenyataan.

Ahmad Zahid berkata beliau bersimpati dengan Zarena dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan membuat pertimbangan untuk menukar agamanya berdasarkan keputusan JKSM dan peguam negara.

“Kalau ibu dan ayah dia bukan orang Islam tentu itu lebih mudah. Tentunya Jabatan Pendaftaran Negara meneliti semula permohonan berkenaan. Saya ada salinan permohonan itu dan saya akan memanggil Ketua Pengarah JPN dan pegawai-pegawai kanan untuk menentukan status permohonan berkenaan,” kata beliau.

Zahid memberitahu kepada pemberita dalam majlis perasmian tabuan motor di Cheras petang tadi.

Zarena mendakwa bahawa bapanya telah mendaftarkannya sebagai seorang Muslim ketika dia masih kecil tetapi dia telah dibesarkan sebagai seorang penganut hindu oleh ibunya.

Zarena mendakwa bahawa ayahnya, yang dikenali sebagai Mahendran, telah berkahwin dengan ibunya yang buta huruf, S. Vasandamma mengikut adat Hindu.

Dia kemudiannya memeluk agama Islam dan menggunakan nama Abdul Majid tanpa pengetahuan keluarga.

Dia kemudian mendaftarkan kelahiran Zarena dan abangnya sebagai penganut agama Islam dan menyimpan dokumen-dokumen berkaitan.

Abang Zarena dinamakan sebagai Abdul Ghulam Salleh Khan Anak Lelaki Abdul Majid.

Dia mendakwa bahawa dia memohon untuk menukar agamanya pada MyKad tujuh tahun lalu tetapi permohonan itu ditolak kerana tidak mempunyai dokumen sokongan daripada bapanya.