MALAYSIA
Kes Zayn Rayyan: “Saya ingat Zayn ditemui selamat” – Ismanira

Ismanira, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan, ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan bela diri di Mahkamah Sesyen pada Isnin. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
PETALING JAYA : Ibu kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, menafikan mayat yang ditemui di aliran sungai berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai itu bukan anaknya.
Demikian luahan penuh emosi Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Zayn Rayyan, ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan bela diri di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Ismanira, 30, yang juga saksi pembelaan pertama dalam kes pengabaian yang didakwa menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anaknya dua tahun lalu, berkata dia pada mulanya menolak kenyataan bahawa mayat yang ditemui itu adalah anak sulungnya.
“Saya masih dalam keadaan menafikan. Saya tidak dapat menerima hakikat anak saya sudah tiada,” katanya dengan suara sebak ketika menjawab soalan peguamnya, Haresh Mahadevan.Pada malam 6 Disember, 2023, Ismanira memaklumkan dia sedang memangku anak keduanya di tempat letak kereta berhampiran lokasi kejadian, sebelum dikejutkan dengan jeritan orang ramai.
“Saya menangis kegembiraan kerana menyangka Zayn Rayyan telah dijumpai dalam keadaan selamat. Namun kegembiraan itu tidak lama. Apabila saya lihat suami dipapah keluar dari kawasan semak dan bapa mentua saya berkata ‘Zayn Rayyan sudah tiada’, saya tetap tidak percaya,” ujarnya.
Ismanira hanya dapat mengesahkan identiti anaknya semasa berada di bilik mayat Hospital Sungai Buloh di Selangor pada lewat malam itu.
“Ketika di unit forensik, saya lihat sendiri luka di kepala Zayn (Rayyan). Matanya lebam, hidungnya berdarah dan mulutnya tidak tertutup rapat. Perutnya kembung, kakinya kecut, kulitnya menjadi putih dan mengeluarkan bau busuk,” katanya lagi dalam nada penuh kesedihan.
Terdahulu, mahkamah membebaskan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. Namun, Ismanira diperintahkan membela diri atas pertuduhan yang sama.
Selain Haresh, pasangan itu turut diwakili peguam Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Mengikut pertuduhan pindaan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai hingga ke sungai berhampiran antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan 9.55 malam keesokannya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Disember, 2023 sebelum mayatnya ditemui pada malam keesokannya, kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya. Penemuan itu mengejutkan seluruh negara dan mencetuskan desakan pelbagai pihak agar keadilan ditegakkan bagi mangsa kecil berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami