KUALA LUMPUR: Sukar atau sangat sukar untuk menyediakan wang yang cukup kepada anak-anak untuk membeli makanan sekolah.

Itu antara realiti dihadapi ketua keluarga dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah yang menetap di tengah ibu kota, kesan yang dihadapi susulan pandemik COVID-19 yang melanda.

Isu ini timbul apabila sekolah dibuka semula dan aktiviti perniagaan perlahan-lahan kembali beroperasi, namun sebahagian besar keluarga masih menghadapi kesukaran.

"Satu daripada tiga bersamaan 36 peratus responden mengatakan mereka sukar atau sangat sukar untuk menyediakan wang yang cukup kepada anak-anak untuk membeli makanan di sekolah.

"Satu daripada empat bersamaan 26 peratus keluarga mengatakan mereka sukar atau sangat sukar untuk membayar pengangkutan ke sekolah," memetik laporan Siri Keempat Kajian Keluarga di Pinggiran yang dikeluarkan hari ini.

Kajian oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) itu dilakukan pada Mac lalu, genap setahun selepas Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 yang pertama dikuatkuasakan.

Laporan itu turut mendapati sebahagian ibu bapa mengatakan mereka berdepan kesukaran untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan.

"Satu daripada empat keluarga tidak mampu untuk menyediakan pelitup muka baharu untuk anak setiap hari," memetik laporan itu.

Projek kajian Keluarga di Pinggiran ditaja oleh UNICEF dan UNFPA itu adalah bagi membantu penggubalan dasar dan menggalakkan wacana umum mengenai kesan pandemik COVID-19 ke atas wanita dan kanak-kanak dalam keluarga berpendapatan rendah di bandar di Malaysia.

Projek ini melibatkan kajian ke atas 500 keluarga berpendapatan rendah yang mendiami 16 perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur.

Dapatan siri kajian sebelum ini mendapati tindak balas dasar kerajaan memainkan peranan kritikal dalam mengurangkan kesan negatif yang teruk.

"Bantuan Prihatin Nasional (BPN) misalnya menepati sasaran dan sangat membantu dalam menampung pendapatan isi rumah yang berkurangan.

"Agak memberangsangkan juga apabila keluarga yang memerlukan perkhidmatan kesihatan sebelum dan selepas bersalin mendapat akses yang diperlukan tanpa begitu banyak halangan," memetik laporan itu.