NATIONAL
Kesan isu tarif terkini AS kepada Malaysia masih dalam peringkat penilaian - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesan daripada langkah tarif terkini oleh AS kepada ekonomi negara masih dalam peringkat penilaian oleh kementerian dan agensi yang berkaitan diterajui MITI. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesan daripada langkah tarif terkini oleh Amerika Syarikat (AS) kepada ekonomi negara masih dalam peringkat penilaian oleh kementerian dan agensi yang berkaitan diterajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Ringkasan AI
- Kesan tarif terbaru AS masih dinilai oleh MITI dan agensi berkaitan.
- Malaysia kekal mahu berbincang dengan rakan dagang dan ambil pendekatan berhati-hati.
- Malaysia dikenakan tarif 24%, dan ASEAN akan berbincang isu ini bersama.
"Malaysia tegas dengan pendekatan mengekalkan hubungan positif dan progresif dengan semua rakan dagang sambil menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat, perniagaan serta pengeksport kita," kata beliau menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Terdahulu, Perdana Menteri dilaporkan berkata Malaysia sebagai pengerusi ASEAN akan berunding dengan beberapa negara anggota blok itu bagi mencapai persetujuan bersama berkenaan isu tarif timbal balik yang diumumkan AS untuk memastikan prinsip keadilan diterapkan dalam perdagangan antarabangsa.
Negara anggota wilayah Indo-China ASEAN paling teruk terjejas akibat daripada tarif itu dengan Kemboja dikenakan tarif asas dan timbal balik berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), (Vietnam 46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Sementara itu, Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia masing-masing pada 24 peratus, manakala Filipina 17 peratus dan Singapura pada tarif asas 10 peratus.
Selain itu, tarif timbal balik yang lebih tinggi dikenakan secara individu ke atas negara yang AS rekodkan defisit perdagangan terbesar, berkuat kuasa pada 9 April, 2025.
Semua negara lain akan terus tertakluk kepada dasar tarif 10 peratus yang asal.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami