KUALA LUMPUR: Kesan kejatuhan Silicon Valley Bank di Amerika Syarikat (AS) kepada institusi perbankan tempatan adalah minima dan terhad berdasarkan kepada penilaian dilakukan pihak berkuasa di Malaysia, kata Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang meminta kerajaan menyatakan langkah mitigasi awal oleh Kementerian Kewangan (MOF), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi menangani kesan kepada sektor perbankan dan pasaran modal dalam negara.

Sim berkata sistem perbankan di Malaysia kekal berdaya saing dan berdaya tahan untuk terus melaksanakan peranannya sebagai pengantara kewangan yang efektif.

"Daripada segi peraturan permodalan dan peraturan mudah tunai pula, Malaysia mempunyai peraturan yang ketat dan ujian tekanan berkala turut dilaksanakan dalam sistem perbankan bagi memastikan sistem kita mempunyai kesiapsiagaan," kata Sim.

"Bagi sudut dasar monetari, perkara tersebut merupakan bidang kuasa BNM. MOF tidak terlibat dalam sebarang keputusan melibatkan dasar tersebut seperti yang termaktub dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009," jelasnya.

Di bawah Akta itu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) telah diberi tanggungjawab untuk merumuskan dasar monetari secara autonomi bagi mengekalkan kestabilan harga serta memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan.

Penilaian dibuat bukan sekadar kesan tindakan Rizab Persekutuan (Fed) AS tetapi lebih kepada kesan domes

Keruntuhan SVB yang memberikan pengkhususan kepada pembiayaan modal teroka terutamanya dalam sektor teknologi berlaku selepas pendeposit mengeluarkan sejumlah besar simpanan sehingga menyebabkan ia tidak boleh beroperasi sendiri.

Ia adalah bank ke-16 terbesar di AS setakat akhir tahun 2022 dengan kira-kira US$209 bilion aset dan US$175.4 bilion deposit.

Terdahulu, Azli Yusof (PH-Shah Alam) turut bertanya mengenai strategi kementerian dalam usaha mengawal inflasi, kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara.

Sim berkata antara strategi utama kerajaan dalam mengawal inflasi adalah menerusi pemberian subsidi kepenggunaan serta kawalan harga dalam barangan keperluan terpilih.

Melalui langkah tersebut Malaysia mencatat kadar inflasi 3.3 peratus pada tahun 2022, ia dijangka terus terkawal tahun ini, katanya.

Selain itu, beliau berkata kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2022 juga telah menunjukkan kadar inflasi di negara boleh menjangkaui 10 peratus sekiranya kerajaan menghapuskan kesemua subsidi yang dinikmati rakyat pada ketika ini.

"Dalam Belanjawan 2023 kerajaan memperuntukkan RM64 billion untuk membiayai pelbagai jenis subsidi, bantuan dan insentif kepada rakyat," kata Sim.

Mengenai dasar monetari, tahun ini MPC dalam mesyuaratnya pada 8 hingga 9 Mac lepas telah memutuskan untuk mengekalkan OPR pada tahap 2.75 peratus iaitu kadar sama yang turut dicatatkan semasa mesyuarat MPC yang pertama pada 18 dan 19 Januari 2023.

Keputusan penangguhan sementara OPR ini dibuat bagi menilai kesan pelarasan kumulatif 100 mata asas OPR pada tahun lalu terhadap prospek inflasi dan ekonomi Malaysia.

"Ia juga turut dibuat dengan mengambil kira kesan sela masa daripada peningkatan OPR sebanyak empat kali berturut-turut pada tahun lepas bagi membolehkan MPC mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kesan kenaikan OPR terhadap pengurangan tekanan permintaan yang melibatkan perubahan tingkah laku isi rumah dan perniagaan yang kebiasaannya mengambil masa," katanya.

-- BERNAMA