Kematian pasangan suami isteri yang ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah apartmen di Taman Meru Impiana, Jelapang di Ipoh, Perak pada Ahad, dipercayai bermotifkan bunuh.

Ia berdasarkan hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa mempunyai beberapa kesan tikaman di bahagian badan, dipercayai menggunakan senjata tajam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, mangsa lelaki mempunyai kesan tikaman di dada manakala isterinya di bahagian rusuk kiri.

“Daripada hasil itu, kita datang sini kita hendak siasat semula dan kita klasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dimana terdapat kesan tikaman jadi murderlah, jadi murder (bunuh).

“Kita percaya daripada hasil post mortem itu si isteri telah meninggal 24 jam dan kemungkinan juga selepas si isteri meninggal dan suami datang dan mungkin dia menyebab kebakaran itulah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Isnin.

BACA: Apartmen didiami terbakar, dua warga emas rentung

Menurutnya, motif sebenar kejadian masih disiasat berikutan daripada keterangan saksi, mereka terdengar pertengkaran.

Dalam kejadian pada jam 3.30 pagi itu, Kamal Mustafa yang merupakan warga Mesir dan Kamariah Talib masing-masing berusia 70-an ditemui rentung di ruang tamu dan hadapan bilik air rumah mereka.

Turut ditemui, dua tong gas berhampiran dengan mayat mangsa yang dipercayai menjadi punca letupan itu sebelum berlakunya kebakaran.