Kesatuan Pekerja Hyundai bantah penggunaan robot Atlas di kilang pengeluaran

Kesatuan berpendapat penggunaan robot humanoid boleh mencetuskan “kejutan pekerjaan” serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia. -Foto Amanz
DI CES 2026, Boston Dynamics memperkenalkan versi terkini robot humanoid Atlas yang dirancang untuk digunakan Hyundai di kilang pembuatan kereta mereka.
Namun, sebelum ujian keupayaan robot itu dijalankan, Kesatuan Pekerja Hyundai di Korea Selatan membantah rancangan tersebut kerana bimbang ia akan menjejaskan pekerjaan sedia ada.
Kesatuan berpendapat penggunaan robot humanoid boleh mencetuskan “kejutan pekerjaan” serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia.
Mereka menegaskan bahawa tiada robot baharu boleh dibawa masuk ke tempat kerja tanpa persetujuan bersama antara pengurusan dan pekerja.
Kesatuan turut menuduh Hyundai memindahkan sebahagian operasi pengeluaran ke luar negara, khususnya ke Amerika Syarikat, yang didakwa memberi kesan kepada pekerja di dua kilang tempatan.
Hyundai merancang menghasilkan sehingga 30,000 robot humanoid setahun menjelang 2028, dengan pelaksanaan awal dijadualkan di kilang mereka di Georgia.
Pakar industri menjangkakan penggunaan robot humanoid akan memberi kesan besar kepada tenaga kerja manusia, sama seperti era awal automasi pada 1960-an apabila General Motors memperkenalkan robot pertama di lantai kilang automotif.
Boston Dynamics menjadi sebahagian daripada Hyundai selepas syarikat itu mengambil alih pemilikan daripada Google.
Selain itu, laporan industri menyebut bahawa beberapa syarikat global turut menilai penggunaan robot humanoid lain seperti UBTech Walker S2 di operasi masing-masing. -Amanz
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


