PONTIAN: Tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingan memiliki perlindungan takaful dan insurans masih rendah apabila hanya 39 hingga 40 peratus rakyat negara ini memiliki perlindungan berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sehingga kini kira-kira hampir 60 peratus penduduk tidak mempunyai perlindungan takaful dan insurans yang secukupnya untuk digunakan ketika berlaku kecemasan.

"Usaha memberikan penjelasan mengenai kepentingan perlindungan takaful perlu terus dibuat sama ada di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kampung dan juga di bandar supaya taraf penembusan takaful dan insurans ini meningkat pada masa akan datang.

"Sebab itu program Takaful Masuk Kampung diadakan bagi meneruskan usaha literasi kewangan sekali gus memberi pendedahan dan penerangan apa itu maksud takaful dan memberi kesedaran kepada semua untuk memastikan kita dan keluarga dilindungi," katanya pada sidang media selepas merasmikan program berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Mohd Radzuan Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang Hasrunizah Hassan.

Menurut Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, Takaful Masuk Kampung yang memasuki siri keempat itu diharap dapat diteruskan dalam memastikan penduduk luar bandar turut sama menikmati manfaat tentang kepentingan takaful bagi mengurangkan beban kewangan sekiranya berdepan musibah.

Sementara itu, Mohd Radzuan berkata hampir 60 peratus penduduk yang tidak mempunyai perlindungan takaful dan insurans kebanyakannya adalah terdiri dalam kalangan penduduk luar bandar.

"Kita ambil contoh kejadian banjir pada tahun 2021, cuma lima peratus daripada kenderaan yang terlibat mempunyai perlindungan banjir, manakala 95 peratus lagi tiada. Daripada jumlah kerugian yang dialami iaitu RM6.1 bilion, cuma RM2 bilion dilindungi. Maknanya ia akan memberi tekanan kepada kerajaan untuk menampung lagi RM4 bilion yang kurang itu.

"Kalau RM4 bilion itu ditakafulkan melalui takaful dan pengendali takaful semula, ia dapat mengurangkan jumlah kerugian tersebut kerana konsep takaful adalah tolong menolong dan kita mempunyai rangkaian yang besar untuk membantu orang ramai," katanya.

Dalam pada itu, Hasrunizah berkata menerusi pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, lebih 100 orang terdiri daripada penduduk miskin tegar, ketua kampung dan penghulu telah diberikan skim perlindungan takaful pada tahun lepas.

"Sebelum ini kita pernah mentakafulkan seramai 947 petugas pilihanraya dan hari ini pula kita mentakafulkan lagi di bawah DUN Pulai Sebatang seramai 277 orang. Malah Datuk Seri Ahmad turut menyumbang pelan perlindungan kepada pelajar tahfiz di daerah ini," katanya.

Program Takaful Masuk Kampung di Pontian anjuran MTA yang berkonsepkan karnival rakyat dan pendidikan kewangan telah berjaya menarik kira-kira 2,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti seperti ruangan pameran dan jualan.

-- BERNAMA