KUALA LUMPUR: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) telah terbukti mempunyai standard keselamatan data yang baik selepas beroperasi selama hampir 100 hari tanpa gangguan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, situasi itu menyakinkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mendaftar dalam sistem tersebut.

“Kita telah berjaya meyakinkan orang ramai mengenai isu-isu keselamatan. Kita telah nyatakan sistem ini dibina sebegitu rupa sehingga berjaya menghasilkan satu sistem yang bergerak kukuh selama 84 hari kita beroperasi tanpa ada gangguan.

“Kita berjaya tunjukkan keselamatan data suatu perkara yang utama dan tidak berlaku kebocoran maklumat. Kita tekankan sistem ini dibangunkan oleh penjawat awam.

“Kita bersama Jabatan Digital dan pelbagai pihak dalam aspek keselamatan (siber/data) yang membolehkan sistem ini menjadi penanda aras baharu untuk penjawat awam dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


Keselamatan data PADU terjamin, beroperasi 84 hari tanpa gangguan - Ketua Perangkawan

Menurut Mohd Uzir keselamatan dan kerahsiaan maklumat dalam sistem PADU adalah terjamin daripada kebocoran dan diselenggara sepenuhnya oleh Jabatan Digital Negara (JDN) iaitu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini jelasnya, PADU melalui Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Siber Sektor Awam (CSIRT) bersiap siaga mengendalikan melalui prosedur yang ditetapkan.

Pada Isnin Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan PADU menyaksikan peningkatan yang mendadak dalam kadar pendaftaran sepanjang minggu lepas.

Beliau berkata setakat 11:59 malam pada 24 Mac 2024, bilangan pendaftaran meningkat kepada 7.7 juta daripada 5.4 juta yang direkodkan pada 17 Mac 2024.

Tempoh pendaftaran ke dalam sistam PADU akan berakhir 31 Mac ini.


Agenda AWANI: Daftar PADU, manfaat untuk semua