KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum membincangkan cadangan memasang alat pengesan logam di semua pintu masuk lapangan terbang bagi meningkatkan keselamatan di kawasan tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau sedar keselamatan di lapangan terbang perlu ditingkatan dan perbincangan ke arah itu perlu melibatkan polis dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Menurutnya, sebarang langkah terutamanya dalam mengubah prosedur operasi standard (SOP) termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu mengambil kira beberapa aspek sebelum dilaksanakan.

“(Ada cadangan pasang alat pengesan logam?) Setakat ini belum lagi. Kita memerlukan perbincangan lanjut terlebih dahulu. Apa-apa langkah spesifik perlulah mengambil kira banyak pertimbangan.

“Setakat ini saya rasa perbincangan lebih lanjut perlu dilakukan antara polis dan pihak MAHB. Perlu secepat mungkin.

“Polis pun dilihat ambil tindakan pantas dan saya percaya polis akan beri nasihat kepada MAHB,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Pelancaran Rasmi Stesen Pengecasan EVlution 2024, di sini, pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada MAHB dan polis untuk perbincangan tersebut kerana ia melibatkan operasi di lapangan terbang.

Bagaimanapun, tegasnya, MAHB perlu mengambil tindakan susulan selepas mendapat nasihat daripada polis, namun, sebarang perubahan memerlukan perbincangan lanjut terlebih dahulu.

Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki bertindak nekad melepaskan tembakan kepada isterinya sebelum terkena individu lain dalam kejadian dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi.

Mangsa dipercayai mengalami kecederaan di bahagian perut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 38 tahun itu kemudiannya melarikan diri namun kini sudah diberkas dan dikenakan tahanan reman tujuh hari.