Keselamatan sekolah: KPM laksana reformasi segera, sistem sokongan guru antara fokus utama

Fadhlina berkata, KPM komited dalam memastikan keselamatan murid serta kesejahteraan seluruh komuniti sekolah. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan reformasi segera ke atas tahap keselamatan sekolah melalui lima fokus utama di bawah kerangka Sekolah Selamat, susulan insiden tikaman yang berlaku di sebuah sekolah baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan reformasi segera sistem keselamatan sekolah melalui lima fokus utama di bawah kerangka Sekolah Selamat susulan insiden tikaman yang berlaku baru-baru ini.
- Lima fokus tersebut ialah kesihatan mental, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, pencegahan bahan terlarang, dasar perlindungan kanak-kanak serta sistem sokongan guru dan suara murid, dengan pelaksanaan melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan komuniti sekolah.
- Semua sekolah diarahkan melaksanakan langkah ini serta-merta dengan pemantauan setiap 15 hari, manakala hasil libat urus dan pelaksanaan akan dinilai secara berterusan bagi memastikan keberkesanan dan kesesuaian intervensi.
Lima fokus utama yang menjadi teras kepada reformasi itu ialah kesihatan mental, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, pencegahan bahan terlarang, dasar perlindungan kanak-kanak serta sistem sokongan guru dan suara murid.
“Kita beri keutamaan kepada kesihatan mental, bukan sahaja untuk murid, tetapi juga guru. Sokongan kepada guru bimbingan dan kaunselor akan diperkukuh dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan rakan strategik,” katanya.
Mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, Fadhlina menegaskan bahawa pendekatan baharu akan memberi fokus kepada kesedaran dan intervensi berlandaskan nilai agama, budaya dan moral.
“Dengan cara ini, murid akan dilengkapi maklumat yang betul dan kemahiran membuat keputusan tepat dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau turut menegaskan larangan keras terhadap pembawaan bahan terlarang dan berbahaya ke sekolah menerusi pemeriksaan berkala dan mengejut di sekolah dengan kerjasama agensi penguat kuasa serta guru disiplin.
Mengenai dasar perlindungan kanak-kanak, beliau memaklumkan bahawa sesi libat urus akan dijalankan bersama ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah sebelum pelaksanaan penuh di semua sekolah.
Selain itu, sistem sokongan psikososial kepada guru akan dipertingkat melalui inisiatif Teacher Care and Support, manakala Student Voice atau suara murid diiktiraf sebagai elemen penting dalam membentuk ekosistem sekolah yang lebih selamat dan inklusif.
“Suara murid adalah suara nurani, cerminan kepada perasaan, pengalaman dan harapan mereka. Kita mesti dengar dan beri perhatian kepada apa yang mereka mahu dan perlukan,” katanya.
Beliau berkata, semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah diarahkan untuk melaksanakan langkah-langkah ini di semua 10,243 sekolah di seluruh negara dengan serta-merta.
“KPM akan menilai keberkesanan setiap inisiatif ini secara intensif dan berterusan. Pemantauan dan penilaian semula akan dibuat setiap 15 hari supaya tindakan dapat disesuaikan dengan keperluan semasa,” jelasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami