MALAYSIA
Keselamatan siber dan inovasi perlu seiring - MCMC

Fernandez ketika menyampaikan ucapan pada pelancaran program Digital Nation 2025 di Kuala Lumpur, pada Rabu. - Gambar MCMC
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan piawaian keselamatan siber yang ketat tidak seharusnya dianggap sebagai penghalang kepada inovasi, sebaliknya mampu melengkapkan pembangunan teknologi baharu.
Ahli Suruhanjaya MCMC, Derek Fernandez berkata, kerajaan sentiasa bekerjasama dengan industri dalam merangka piawaian keselamatan bagi memastikan kebimbangan pemain industri diambil kira, namun keutamaan adalah melindungi kepentingan rakyat.
“Keselamatan dan inovasi boleh bergerak seiring. Sama seperti tali pinggang keledar dalam kereta, ia bukan sahaja melindungi nyawa tetapi juga mendorong reka bentuk lebih kreatif serta selamat. Syarikat yang mendapat manfaat besar daripada teknologi perlu bertanggungjawab dan melabur bagi melindungi pelanggan,” katanya ketika ditemui pada pelancaran program Digital Nation 2025 di ibu negara, pada Rabu.
Beliau menjelaskan, langkah terbaharu termasuk mewajibkan pengurusan nombor telefon yang sering disalahgunakan untuk penipuan, seperti nombor roaming atau nombor yang telah ditamatkan, penting agar pengguna menerima amaran awal berhubung potensi penipuan.Fernandez turut menekankan kepentingan pendidikan awam sebagai benteng pertama menentang jenayah siber.
“Antara program paling penting yang boleh dilakukan pengawal selia ialah mendidik orang ramai. Melalui Rangkaian Maklumat Nasional, program Safe Internet dan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, kita turun padang memberikan latihan, pensijilan, serta mesej kesedaran di media sosial termasuk TikTok.
“Kami tekankan perkara asas seperti jangan mudah klik pautan, jangan dedahkan maklumat peribadi, dan sentiasa semak kesahihan mesej. Malah, usaha kini diperluaskan ke universiti dan sekolah supaya kesedaran bermula seawal mungkin,” jelasnya.
Fernandez turut menekankan kerjasama serantau apabila Malaysia kini mempengerusikan ASEAN, dengan beberapa dasar keselamatan siber dijangka dimeterai dalam tempoh terdekat.
“Prinsip tanggungjawab bersama yang termaktub dalam Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia kini turut diterima pakai oleh negara-negara ASEAN. Kolaborasi ini penting untuk melindungi bukan sahaja rakyat tempatan, malah pelawat yang menggunakan kemudahan teknologi di rantau ini,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami