CYBERJAYA: Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) Malaysia perlu menjadi hab pembangunan kapasiti untuk rantau ini, dengan fokus spesifik dalam perkongsian risikan ancaman, dan memperkukuh kerjasama dalam memerangi ancaman siber.

Namun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kini kekurangan 12,000 profesional sekuriti siber, dan negara memerlukan lebih 25,000 pekerja bidang tersebut menjelang 2025.

Sebagai lokasi yang dipilih Blackberry untuk pusat tersebut, beliau berkata, Malaysia mempunyai perancangan untuk mewujudkan kemahiran berdaya saing global dan ekosistem pembelajaran di rantau Indo-Pasifik.

“Usaha keras kerajaan dalam menarik pelaburan terus asing (FDI), telah berjaya mencatatkan RM329.5 bilion pada 2023, tertinggi dalam sejarah, dan ia memberi bayangan tentang keyakinan pelabur asing terhadap negara ini.

“Kesemua usaha ini akhirnya akan mewujudkan peluang kerja bernilai tinggi, sejajar dengan hasrat Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat. Di bawah kerangka ini, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memacu pertumbuhan perusahaan dan perkhidmatan, bagi meningkatkan produktiviti mereka dengan ketara serta mengembangkan kecekapan keselamatan siber Malaysia dalam domain digital,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) Blackberry di sini pada Selasa.

Majlis tersebut merupakan susulan daripada perjanjian perkhidmatan perisian jangka panjang yang dimeterai antara syarikat perisian Kanada itu dengan Malaysia semasa Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di San Francisco pada November tahun lepas.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Malaysia bertuah kerana terletak dalam rantau Asia Tenggara, antara rantau yang paling aman di dunia.

Dengan lokasi strategik tersebut, beliau berkata, banyak negara-negara besar mengambil keputusan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan mikrocip mereka, termasuk pelabur besar seperti Infineon dan Nvidia.

Anwar berkata, Malaysia mula menjadi tumpuan dunia, dan semakin banyak pelaburan bernilai tinggi masuk ke negara ini, kerana hubungan baik dengan negara seperti Kanada, Amerika Syarikat, Eropah, serta negara Timur seperti China, Jepun, dan Korea Selatan.

Sehubungan itu Perdana Menteri berkata, sebagai negara berdaulat yang bebas, Kerajaan akan menggunakan situasi tersebut untuk memperkukuhkan lagi agenda negara dalam menangani ancaman siber.

Dalam kenyataan susulan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, pelancaran CCoE ini membuktikan kesungguhan Kerajaan untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti keselamatan siber negara, dengan membina  ekosistem  keselamatan  siber  yang  mantap  melalui  jalinan kerjasama kukuh di antara sektor awam dan swasta.

“CCoE akan memberi fokus kepada latihan dalam keselamatan siber dengan menggabungkan kerjasama di antara universiti dan institusi penyelidikan di Malaysia dan Kanada agar budaya inovasi dapat dipupuk. 

“Selain itu, pusat kecemerlangan ini juga menawarkan pelbagai program latihan dan bengkel untuk profesional dalam bidang keselamatan siber dari pelbagai negara melibatkan bidang seperti analisis ancaman serta protokol pertukaran maklumat,”

SKMM berkata, pusat kecemerlangan itu akan menawarkan latihan khusus untuk memacu kapasiti  dan kesediaan keselamatan siber Malaysia, dengan matlamat menampung kekurangan 12,000 profesional siber negara.