KUALA LUMPUR: Dalam usaha menjamin bekalan air berterusan terhadap beberap negeri yang bermasalah di negara ini, kesepakatan rentas parti di antara kerajaan negeri perlu diperkukuhkan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad, memaklumkan ini termasuk bagi masalah bekalan air di Pulau Pinang yang memerlukan pemindahan air dari Sungai Perak.

"Jika kita lihat kadar masalah air tidak terhasil (NRW) masih tinggi di banyak negeri. Disebabkan itu perlu ada kesepakatan rentas parti dalam perbincangan antara kerajaan negeri untuk lihat semula tarif air di negeri.

"Kami di peringkat Kerajaan Persekutuan akan sediakan kertas Jemaah Menteri mengenai perkara terbabit," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin tahu apakah tindakan kerajaan dalam usaha mempercepat projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Pulau Pinang bagi memastikan jaminan bekalan air berterusan membabitkan kedua-dua negeri terbabit.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, perbincangan antara kerajaan negeri Perak dan Pulau Pinang telah bermula dengan baik.

Katanya, perkara itu telah disuarakan dalam Mesyuarat Majlis Air Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri dan turut dihadiri Menteri Besar Perak dan Exco kerajaan Pulau Pinang.

Pada masa sama, katanya soal tarif juga perlu diberi perhatian kerana sektor air disifatkan sebagai tidak ekonomi di Malaysia, memandangkan ia berada pada kadar terlalu rendah.

Beliau turut mengulas soalan asal Guan Eng mengenai situasi semasa Empangan Air Mengkuang yang disenaraikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai satu daripada tujuh empangan air berisiko tinggi di Malaysia.

Katanya, NRECC merangka sembilan tindakan termasuk pemantapan pelan komunikasi di antara pihak berkepentingan dan penyelarasan dengan operator bekalan air.