KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR), kementerian dan agensi kerajaan berkaitan telah memulakan pelaksanaan tindakan segera projek rintis bagi mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Kecemasan di hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata projek itu adalah satu daripada inisiatif Bitara MADANI yang dipacu oleh pasukan STAR bagi menyelesaikan segera masalah dan kesulitan yang dihadapi rakyat.

"Status terkini pelaksanaan projek rintis bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia MADANI (MTMM) Bilangan 1/2023 pada 13 April (semalam) yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau projek rintis berkenaan telah dilaksanakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Klinik Kesihatan Bandar Botanik (KKBB) di daerah Klang yang tindakan segera cadangan intervensi adalah dengan memindahkan operasi zon hijau (bukan kecemasan) Jabatan Kecemasan HTAR ke KKBB di luar waktu operasi bermula pada 25 Mac 2023 dengan KKBB melanjutkan waktu operasi sehingga 9.30 malam setiap hari.

Beliau berkata sehingga 9 April (Ahad) purata kedatangan pesakit zon hijau ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, HTAR telah mencatatkan penurunan kedatangan pesakit sebanyak 54 peratus.

Dr Zaliha berkata trend penurunan ini berlaku lebih ketara pada hari Sabtu dan Ahad dan selari dengan peningkatan kedatangan pesakit ke KKBB selepas intervensi pelanjutan tempoh operasi ini dilaksanakan bermula 25 Mac.

Sehubungan itu katanya, KKM memutuskan untuk memperluas skop projek rintis intervensi pemanjangan tempoh operasi ke lima klinik kesihatan lain yang telah dipilih melibatkan daerah Gombak, Hulu Langat, Ipoh, Johor Bharu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut Dr Zaliha di samping pelanjutan waktu operasi di klinik kesihatan, tujuh lagi tindakan penyelesaian jangka pendek dan jangka sederhana bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan sedang dilaksanakan.

"Antaranya adalah pelaksanaan rintis Skim Perubatan MADANI, semakan semula akta, pekeliling dan garis panduan berkaitan, pelaksanaan pengurusan LEAN, perluasan perkhidmatan penjagaan kesihatan virtual, dan strategi komunikasi melalui behavioral insight 3 sedang berjalan dengan kerjasama Kementerian dan agensi kerajaan berkenaan.

"KKM amat menggalakkan pesakit yang tidak mengalami sakit kritikal untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan. Pendekatan ini dapat membantu doktor dan anggota kesihatan dalam memberikan rawatan segera kepada pesakit kritikal di Jabatan Kecemasan hospital kerajaan," katanya.

-- BERNAMA