Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kesihatan planet: Malaysia perlu kaji semula pendekatan pembangunan, lindungi alam - Pakar

51698463649_HutanSimpananKekal.jpg
Malaysia dilihat seolah-olah masih gagal menghargai ekosistem semula jadinya sebagai sistem sokongan kehidupan yang penting. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu segera menilai semula pendekatan pembangunannya dan menjadikan alam sekitar sebagai keutamaan dalam proses membuat keputusan di peringkat kebangsaan berikutan kemerosotan alam sekitar yang semakin mengancam kesihatan manusia, biodiversiti, daya tahan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat, kata pakar.

Pengerusi Kluster Alam Sekitar dan Kesihatan di bawah Kumpulan Pakar Pelan Tindakan Kesihatan Bumi Negara (NPHAP) Akademi Sains Malaysia (ASM) Datuk Looi Lai Meng berkata Malaysia dilihat seolah-olah masih gagal menghargai ekosistem semula jadinya sebagai sistem sokongan kehidupan yang penting, meskipun negara ini antara negara paling kaya dengan biodiversiti di dunia.

“Perkara yang paling memberi kesan kepada saya ialah kita sebenarnya tidak cukup bijak dalam menangani situasi ini. Kita telah lupa bahawa alam semula jadi merupakan nadi yang menyokong kehidupan kita. Jika planet ini dan alam semula jadi terjejas, kita akan berdepan masalah,” katanya yang menjadi anggota panel pada Forum Kesihatan Bumi Negara: Daripada Bukti Iklim Global kepada Tindakan Strategik Malaysia, anjuran ASM di sini pada Sabtu.

Looi berkata Malaysia telah kehilangan kira-kira 30 peratus kawasan hutannya dalam tempoh 50 tahun lepas manakala spesies seperti penyu belimbing telah mengalami pupus secara fungsi dan badak sumbu diisytiharkan pupus pada 2019, dengan populasi harimau di negara ini kini dianggarkan hanya kira-kira 150 ekor.

Beliau berkata kemerosotan alam sekitar telah membawa pelbagai kesan termasuk peningkatan banjir, pencemaran udara dan air, kemusnahan kawasan tanah gambut dan hutan bakau serta risiko terhadap kesihatan yang semakin meningkat, justeru Malaysia tidak lagi boleh memisahkan perlindungan alam sekitar daripada usaha memastikan kesejahteraan manusia.

“Kita menggadaikan alam sekitar akibat perubahan iklim. Kita kini berdepan lebih banyak kejadian banjir, pencemaran udara, kemusnahan tanah gambut dan hutan bakau, malah lautan kita juga bakal terjejas,” kata Looi yang juga Naib Presiden ASM.

Sementara itu, Pengerusi Kluster Rangka Kerja dan Integrasi di bawah Kumpulan Pakar NPHAP ASM, Prof Dr Mahendhiran Sanggaran Nair berkata sifat kesalinghubungan kesihatan planet menuntut Malaysia untuk beralih daripada model pembangunan konvensional yang berteraskan pulangan ekonomi.

Mahendhiran yang juga Naib Canselor (Penyelidikan dan Kelestarian) Universiti Sunway berkata model pembangunan ekonomi perlu mengiktiraf peranan alam semula jadi sebagai komponen penting dalam menjana produktiviti dan pembangunan negara, bukannya menganggapnya sebagai faktor luaran.

“Kita perlu memikirkan semula pendekatan dalam mendidik pemimpin generasi akan datang supaya tidak hanya menumpukan kepada pulangan pelaburan dan nilai pemegang saham, sebaliknya memberi perhatian kepada hasil yang membawa nilai lebih besar kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata NPHAP berusaha mengintegrasikan nilai alam sekitar dan kemasyarakatan dalam perancangan pembangunan memandangkan kemusnahan alam semula jadi pada akhirnya akan menjejaskan kesihatan manusia, produktiviti serta prestasi ekonomi negara.

Mahendhiran berkata pandemik COVID-19 telah memperlihatkan bagaimana risiko terhadap kesihatan dan alam sekitar boleh mengganggu rantaian bekalan serta ekonomi, sekali gus menekankan keperluan menangani risiko kesihatan planet sebelum ia berkembang menjadi krisis yang lebih besar.

Pengerusi Climate Governance Malaysia (CGM) Gary Theseira berkata negara ini sememangnya sudah mempunyai data iklim tempatan yang mencukupi untuk beralih daripada sekadar memahami risiko iklim kepada melaksanakan tindakan lebih konkrit.

Beliau berkata model simulasi banjir dan data daripada cuaca ekstrem sedia ada boleh digunakan untuk menilai potensi kesan perubahan iklim tanpa perlu menunggu model iklim global yang semakin canggih disesuaikan dengan keadaan tempatan.

Di peringkat korporat, Gary berkata tuntutan berkaitan kelestarian yang semakin meningkat daripada pasaran antarabangsa, pihak kawal selia dan institusi kewangan kini mendorong syarikat supaya lebih telus dalam melaporkan serta mendedahkan impak terhadap alam sekitar dan masyarakat.

“Pengguna di Malaysia turut boleh memainkan peranan dengan menuntut lebih banyak produk dan perkhidmatan yang mengutamakan kelestarian, sekali gus menggalakkan syarikat meningkatkan prestasi alam sekitar dan mengurangkan pembaziran,” katanya.

Presiden ASM Datuk Tengku Mohd Azzman Shariffadeen pula berkata Malaysia perlu menterjemahkan bukti saintifik berkaitan kesihatan planet kepada dasar yang jelas serta tindakan konkrit, susulan perubahan iklim yang semakin memberi kesan terhadap kesihatan awam, keselamatan makanan dan air, infrastruktur, ekonomi serta masyarakat.

Beliau berkata perubahan iklim kini bukan lagi sekadar isu alam sekitar, dengan cuaca ekstrem, banjir dan pelbagai kesan berkaitan iklim telah menimbulkan implikasi sosial dan ekonomi yang ketara kepada negara.

“Persoalannya bukan lagi sama ada kita memiliki bukti yang mencukupi untuk bertindak, sebaliknya sama ada kita mampu menterjemahkan bukti itu kepada keputusan dan tindakan pada skala serta kadar yang diperlukan,” katanya dalam ucapan pembukaan pada forum berkenaan.

Tengku Mohd Azzman berkata ASM telah membangunkan NPHAP di bawah Majlis Sains Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi menyediakan kerangka kerja kebangsaan untuk menterjemahkan konsep kesihatan planet kepada tindakan.

Beliau berkata NPHAP menghimpunkan aspek tadbir urus, alam sekitar dan kesihatan, sistem makanan, penyelidikan dan pendidikan, peralihan tenaga serta nilai kemanusiaan dan perubahan tingkah laku.

Bagaimanapun beliau berkata usaha sedemikian tidak mampu dicapai oleh kerajaan atau komuniti saintifik semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama antara kerajaan, sektor industri, ahli akademik, masyarakat awam dan komuniti.

Tengku Mohd Azzman turut menggesa supaya penyampaian berkaitan bukti saintifik diperkukuh, di samping menekankan ketelitian saintifik perlu kekal dijadikan asas manakala isu yang kompleks perlu dihuraikan dengan jelas dan mudah difahami supaya pembuat dasar, pemimpin industri serta komuniti memahami kepentingan bukti tersebut dan tindakan yang perlu diambil.

Forum anjuran ASM dengan kerjasama CGM itu menghimpunkan pakar dalam bidang kesihatan planet, tadbir urus iklim dan kelestarian bagi meneliti bagaimana bukti iklim global yang muncul dapat disesuaikan dengan konteks Malaysia serta diterjemahkan kepada tindakan strategik di peringkat nasional.

Program berkenaan turut menampilkan tayangan National Emergency Briefing United Kingdom, disusuli sesi dialog pakar yang membincangkan kesan perubahan alam sekitar terhadap kesihatan manusia, ekosistem serta kesejahteraan masyarakat.

Perbincangan berkenaan turut menyokong pelaksanaan NPHAP yang dilancarkan pada 20 Nov 2025, dengan mengandungi enam Bidang Keberhasilan Utama, 53 strategi dan 222 pelan tindakan bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan, institusi akademik, sektor industri serta masyarakat dalam memperkasakan agenda kesihatan planet negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement