Kesilapan kontraktor punca kebocoran air Terminal 1 KLIA

MAHB berkata pihaknya turut bekerjasama dengan kontraktor terbabit untuk memperkukuh prosedur kerja termasuk pemeriksaan ramalan cuaca secara mandatori sebelum memulakan aktiviti di atas bumbung.
KUALA LUMPUR: Kesilapan kontraktor dalam mengendalikan kerja-kerja pembaikan di Terminal 1 Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) menjadi punca kepada kebocoran bumbung yang dilaporkan berlaku malam semalam.
Ringkasan AI
- Siasatan selesai kegagalan kontraktor dikenal pasti punca kebocoran. Air bertakung di bumbung selepas saliran tersumbat akibat papan lapis tidak dialihkan. Malaysia Airports akan ambil tindakan tegas dan perketat prosedur kerja.
“Insiden berlaku semasa kontraktor sedang menjalankan kerja penutupan pada bahagian saliran sebelum aktiviti kilat memaksa kerja dihentikan mengikut prosedur keselamatan,” jelas Malaysia Airports dalam kenyataan rasmi, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, pekerja kontraktor kemudian mengosongkan kawasan bumbung dalam keadaan tergesa-gesa akibat cuaca buruk, namun gagal mengalihkan kepingan papan lapis yang digunakan untuk menutup titik saliran.
“Kegagalan mengalihkan papan lapis itu menyebabkan saliran bumbung tersumbat. Apabila hujan lebat melanda, air terkumpul dan akhirnya menembusi siling terminal,” tambah kenyataan tersebut.
Susulan itu, menurut MAHB tindakan tegas terhadap kontraktor terlibat akan diambil, selain memastikan penambahbaikan segera dilaksanakan.
Walaubagaimanapun, MAHB memaklumkan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan pihak kontraktor bagi memperkukuh prosedur kerja pembaikan.
Ia termasuk memeriksa ramalan cuaca semasa sebagai mandatori sebelum memulakan aktiviti di atas bumbung selain menambah baik protokol kecemasan bagi pemberhentian kerja ketika cuaca buruk.
Untuk makluman, kerja-kerja pembaikan bumbung berkenaan merupakan sebahagian daripada projek selama setahun yang bermula pada April 2025, sebagai komponen utama dalam program pembaharuan infrastruktur KLIA.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


