KUALA LUMPUR: Pemulihan keyakinan pelabur disebabkan kestabilan politik dalam Kerajaan Perpaduan merupakan antara faktor pengukuhan ringgit Malaysia sejak kebelakangan ini.

Selain itu, Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong berkata, pemulihan sentimen pasaran di peringkat global turut menyumbang kepada pengukuhan mata wang negara.

Katanya, pembukaan sempadan negara China turut menyumbang kepada prospek ekonomi yang lebih baik buat Malaysia.

Berhubung dolar Amerika Syarikat (AS), ringgit telah mencatat pengukuhan sebanyak 3.2 peratus sejak 24 November sehingga 17 Februari lalu.

“Secara amnya, perkembangan ini dipengaruhi faktor penyederhanaan kekuatan dolar AS.

“Ini berikutan jangkaan pasaran bahawa Bank Pusat AS akan naikkan kadar faedah lebih perlahan bagi menangani inflasi di negara itu yang kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan berterusan.

“Perkembangan ini menyebabkan pengukuhan nilai mata wang utama dan serantau,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berkaitan sebab utama pengukuhan nilai mata wang ringgit selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan dengan mata wang asing seperti dolar AS.