Kerajaan Indonesia menyokong penuh usaha Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan wilayah negara ini termasuk negeri Sabah.

Demikian tegas Konsul Indonesia ke Tawau Muhammad Soleh yang menyifatkan kestabilan di Sabah sangat penting buat negara itu.

Muhammad menegaskan kestabilan di Sabah amat penting berdasarkan hubungan sosio-ekonomi yang terjalin erat antara Sabah dengan wilayah Kalimantan.

“Kestabilan di kerajaan negeri Sabah sangat penting sekali, dalam erti kata, hal itu akan dampak positif dalam hubungan kedua hala. Kerana difahamkan letak geografi daripada kerajaan Sabah langsung berhubungan dengan sempadan Kalimantan timur, di mana hubungan sosial ekonomi sudah mengakar dan menjadi dan merupakan satu pemacu ekonomi antara Sabah dan provinsi Kalimantan timur.”

Kestabilan dan keamanan negeri Sabah juga penting memandangkan jumlah tenaga kerja Indonesia yang ramai bekerja di Sabah.

Terdapat 600,000 warga Indonesia kini menetap di Sabah, di mana separuh daripadanya berada di pantai timur Sabah.

Pada masa sama, beliau turut memohon pihak pengurusan ladang terus menjaga kebajikan pekerja ladang warga Indonesia yang terjejas akibat insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Ia bagi memastikan pekerja ladang terbabit kekal komited untuk bekerja di ladang-ladang, lantas membantu mengekalkan pengeluaran kelapa sawit negara.

Ketika ini 162 tenaga kerja Indonesia terpaksa dipindahkan akibat pencerobohan ini. Mereka dipindahkan ke pusat pemindahan oleh Felda Global Ventures.