KUALA LUMPUR: Seperti sebilangan besar pereka fesyen tempatan lain, pasangan Rizman dan Ruzaini juga tidak ketinggalan menyimpan angan-angan atau keinginan bekerjasama dengan peragawati tersohor dunia di pentas peragaan.

Kepada Rizman dan Ruzaini, persetujuan supermodel antarabangsa untuk mengenakan rekaan mereka di pentas fesyen adalah hal yang paling bermakna dalam kerjaya mereka sebagai pereka fesyen.

Justeru, sebaik supermodel legenda dunia, Naomi Campbell menyatakan persetujuan untuk menggayakan rekaan jenama Rizman Ruzaini pada acara penutup Minggu Fesyen Dubai pada hujung minggu lalu, pasangan pereka duo negara itu sangat-sangat terharu dan begitu teruja.

“Saya rasa menjadi impian setiap pereka fesyen kalau boleh nak supermodel antarabangsa menggayakan baju rekaan mereka dan juga catwalk di fashion show.

“Justeru, bila kami dijemput menyertai Minggu Fesyen Dubai dan mengadakan persembahan di penutup acara itu, maka kami Rizman Ruzaini mahu mengambil peluang ini untuk menggunakan kesempatan ke tahap semaksimum mungkin untuk mendapat perhatian masyarakat Dubai untuk mereka kenal siapa Rizman Ruzaini.

“Dari situ juga, saya dapat idea kenapa tidak kita dapatkan Naomi Campbell untuk menggayakan rekaan kita dan Alhamdulillah, hasrat itu tercapai,” kata Rizman atau nama sebenarnya Rizman Nordin dalam temu bual bersama Astro AWANI dari Dubai melalui aplikasi WhatsApp pada Selasa.



Rizman dan sahabatnya, Ruzaini atau nama sebenarnya Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil masih berada di kotaraya Dubai.

Rizman dan Ruzaini diundang oleh penganjur Minggu Fesyen Dubai yang dianggap mereka sebagai peluang terbaik untuk melebarkan pasaran dan pengaruh jenama Rizman Ruzaini untuk pasaran Timur Tengah.

Penampilan Campbell sebagai 'wajah ilham' (muse) rekaan Rizman Ruzaini tempoh hari mencuri perhatian ramai yang kagum dengan kesudian peragawati tersohor dunia itu menggayakan gaun labuh rona monokrom sarat perincian serta dipadankan dengan jaket bolero warna senada.

Rizman Ruzaini berkongsi gambar detik-detik manis itu di akaun Instagram rasmi mereka yang turut memaparkan aksi mereka bertiga berjalan beriringan di atas pentas sambil mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir ke acara itu.

Pada acara berprestij itu, rumah fesyen berkenaan menampilkan 60 busana sentuhan pereka terbabit bertemakan 'Spring/Summer 2024' dengan mengambil ilham daripada legenda rakyat iaitu Naga Seri Gumum; kisah mitos seekor naga yang sedang tidur di Tasik Chini, Pahang.

Menyedari untuk mendapatkan khidmat peragawati hebat seperti Campbell bukan suatu yang mudah, Rizman mendedahkan, dia dan Ruzaini mencari jalan melalui pelbagai cara bagi merealisasikan hasrat mereka.

Sebaik mengesahkan kehadiran jenama Rizman Ruzaini di Minggu Fesyen Dubai, dua sahabat itu mula mencari kenalan yang dapat menghubungkan mereka dengan pengurusan Campbell.

Dipendekkan cerita, kata Rizman, kebetulan mereka mengenali seseorang yang mempunyai hubungan baik dengan Campbell yang memainkan peranan menyampaikan hasrat dan undangan kepada peragawati itu untuk memperagakan jenama Rizman Ruzaini di Minggu Fesyen Dubai.

“Dari situ, kami berikan profil serta tunjukkan hasil kerja kami selama ini kepada Naomi dan dia tidak menunggu lama untuk memberi persetujuan untuk menggayakan rekaan kami di Minggu Fesyen Dubai.

“Jujurnya, saya dan Ruzaini terlalu gembira apabila Naomi mengatakan ‘yes’ untuk menyertai kami. Ketika itu, fokus kami hanyalah menyiapkan busana yang paling terbaik untuk digayakan beliau di Dubai.

“Syukur kerana akhirnya kami berpeluang bekerjasama dengan peragawati hebat dunia. Inilah detik yang amat bermakna dalam kerjaya kami sebagai pereka fesyen,” kata Rizman dalam nada syukur.

Sekalipun dalam tempoh masa yang singkat, namun, Rizman menganggap, kesempatan untuk dia dan Ruzaini mendekati Campbell akan menjadi kenangan paling bermakna dalam hidup mereka.

“Beliau sangat merendah diri dan begitu profesional. Beliau tahu apa yang perlu dilakukan sekalipun tanpa latihan. Beliau hadir semata-mata untuk menghadiri pertunjukkan fesyen itu dan pulang pada keesokan hari.

“Paling istimewa buat kami tentu sekali apabila Naomi menyuarakan rasa suka beliau pada baju rekaan saya dan Ruzaini dan beliau menyuarakan kesudian beliau untuk bekerjasama dengan Rizman Ruzaini lagi pada masa depan dan mengajak kami menyertai Minggu Fesyen Paris pula,” ujar Rizman.