KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan memastikan kebajikan pekerja negara terus terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, termasuk kemungkinan kehilangan pekerjaan pada masa hadapan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata setakat ini keadaan masih terkawal, didorong oleh kestabilan ekonomi negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Advertisement
Beliau berkata bagi menangani situasi itu, kerajaan telah menyediakan pelbagai mekanisme perlindungan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) termasuk Skim Insurans Pekerjaan (SIP) menerusi Lindung Kerjaya, serta skim-skim perlindungan keselamatan sosial PERKESO iaitu perlindungan pekerja (Lindung Pekerja), perlindungan suri rumah (Lindung Kasih) dan bekerja sendiri (Lindung Kendiri).
"Juga ada latihan-latihan bawah kementerian khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dan platform MYFutureJobs yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memadankan peluang pekerjaan tanpa berlakunya ketidakpadanan kemahiran.
"Kita juga melaksanakan program upskilling dan reskilling untuk membantu pekerja meningkatkan kemahiran mereka bagi menghadapi cabaran krisis global ini," katanya dalam program Agenda AWANI: "Hari Pekerja 2026: Dinamik Tenaga Kerja Malaysia" yang disiarkan pada Rabu malam.
Menurut Ramanan, krisis yang dihadapi bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi merupakan fenomena global, justeru kerajaan akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kesejahteraan pekerja terpelihara.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 pada 31 Mac 2026 turut memperkukuh kebajikan pekerja tidak formal apabila golongan itu kini diiktiraf sebagai sebahagian penting daripada tenaga kerja negara.
Melalui pelaksanaan akta tersebut, pekerja gig kini menikmati perlindungan perburuhan asas, selaras dengan usaha Kerajaan Madani untuk memperkukuh perlindungan, memastikan layanan yang adil serta memperluaskan liputan keselamatan sosial kepada golongan berkenaan.
Mengenai Hari Pekerja 2026 pada 1 Mei ini pula, beliau berkata sambutan bertemakan 'Pekerja MADANI KESUMA Bangsa', itu dijangka menghimpunkan lebih 10,000 pekerja daripada pelbagai kontinjen sektor awam dan swasta dari seluruh negara.
"Juga akan ada pengumuman-pengumuman penting yang akan dibuat oleh Perdana Menteri... Tetapi sambutan ini Unifi Arena, Bukit Jalil berlangsung sehingga 3 Mei, dan akan memberi peluang pekerjaan kepada peniaga-peniaga juga," ujarnya lagi.
Karnival Hari Pekerja akan diadakan selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Mei 2026 dengan jangkaan kehadiran melebihi 30,000 pengunjung.
Karnival tersebut dijangka menampilkan lebih 50 pempamer daripada pelbagai kementerian, agensi serta pemain industri, yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan peluang secara terus kepada rakyat.
Sementara itu, Karnival Kerjaya anjuran MYFutureJobs turut diadakan memeriahkan sambutan Hari Pekerja ini yang akan menyediakan padanan pekerjaan dan peluang kerjaya melibatkan 30 majikan dengan kira-kira 4,000 kekosongan jawatan, menawarkan gaji antara RM2,500 hingga RM16,000.