Skip to main content

Malaysia

Ketegangan Asia Barat: Pelabuhan seluruh negara sedia terima tambahan kontena

71724050455_WestportsPortKlang.jpg
Langkah proaktif perlu diambil bagi mengelakkan gangguan atau kesesakan, khususnya melibatkan kontena di yad pelabuhan. - Gambar fail

PELABUHAN KLANG: Pelabuhan seluruh negara perlu bersiap siaga untuk menerima tambahan kontena yang mungkin tersekat akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah proaktif perlu diambil bagi mengelakkan gangguan atau kesesakan, khususnya melibatkan kontena di yad pelabuhan.

Advertisement

“Pelabuhan Klang dan pelabuhan-pelabuhan lain seluruh negara harus bersedia untuk menerima dan mengendalikan tambahan kontena yang mungkin tersekat di pelabuhan-pelabuhan lain (susulan gangguan pengangkutan laut di Selat Hormuz akibat konflik kententeraan Amerika Syarikat-Israel dan Iran).

“Kementerian Pengangkutan (MOT) sejak minggu lepas telah mengadakan mesyuarat secara proaktif dengan pengendali-pengendali utama pelabuhan dan semua lembaga pelabuhan supaya memastikan pelabuhan kita berada dalam keadaan siap siaga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Bangunan Annex Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) dan Sambutan Tahun Baharu Cina serta Iftar Ramadan 2026 di sini hari ini.

Pelabuhan tempatan juga boleh mengambil peluang meningkatkan pengendalian kargo, kebiasaannta melalui pelabuhan seperti Jebel Ali, Khalifah Port, Salalah Bay dan Muscat, kata Loke.

“Justeru, saya telah mengarahkan supaya kontena-kontena kosong tidak disimpan di yad-yad pelabuhan dan sebaliknya dipindahkan terus ke depoh-depoh di luar pelabuhan. 

“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) turut diarahkan untuk memastikan depoh-depoh di luar pelabuhan beroperasi 24 jam selari dengan waktu operasi pelabuhan,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata setakat Disember 2025, Pelabuhan Klang telah mencatat jumlah pengendalian kontena sebanyak 15.14 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dengan peratusan peningkatan sebanyak 3.4 peratus, melonjak 14.64 juta TEU pada 2024.

Beliau berkata menerusi pencapaian ini, Pelabuhan Klang sekali lagi mencatat sejarah dengan jumlah kendalian tertinggi kontena sejak memulakan operasi pada tahun 1973 sekali gus diunjur mengekalkan kedudukan di tangga ke-10 di Liga Pelabuhan Kontena Dunia.

“Tahun ini, saya dimaklumkan Pelabuhan Klang menyasarkan peningkatan kontena sebanyak 1.5 peratus iaitu bersamaan jumlah kendalian 15.37 juta TEU. 

“Sasaran ini dilihat realistik melalui sokongan pertumbuhan positif ekonomi domestik, pembangunan projek-projek infrastruktur, pertumbuhan kargo melalui sektor pembuatan, logistik dan dasar-dasar kerajaan yang lebih mesra kepada perdagangan terutama sekali dalam sektor logistik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini meluluskan pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey dengan Kerajaan Negeri Selangor akan menjadi peneraju pembangunan manakala MOT bertindak sebagai badan pengawal selia.

Kerajaan Selangor akan menubuhkan syarikat tujuan khas bersama rakan strategik swasta untuk menarik pelaburan bagi membina dan mengendalikan terminal itu.

Selain itu, Loke berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan supaya semua agensi berkaitan bergerak pantas kerana projek ini penting untuk memperkukuh ekonomi negara dan meningkatkan daya saing Malaysia dalam sektor pelabuhan dan logistik antarabangsa.

-- BERNAMA

Must Watch Video