DUNGUN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) merancang untuk memperluaskan kawasan pentadbirannya ke lapan lagi mukim di daerah Hulu Terengganu.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata ia termasuk mukim Tanggul, Hulu Berang, Hulu Telemong, Jenagor, Kuala Berang, Kuala Telemong, Tersat dan Penghulu Diman.

Beliau berkata ia bertujuan membawa agenda pembangunan di mukim berkenaan, sekali gus mengelak rakyat di kawasan itu tercicir daripada arus pemodenan.

"Kita nampak kemampuan KETENGAH dalam membangunkan sesuatu wilayah itu amat tinggi dan harapan kita perancangan ini dapat merapatkan jurang pendapatan dan membasmi kemiskinan," katanya pada Majlis Doa Selamat dan Santuni Asnaf Wilayah KETENGAH Sempena 50 Tahun Penubuhan KETENGAH di sini, pada Rabu.

Katanya bagi tujuan itu pihaknya akan menjalankan rundingan dengan kerajaan negeri Terengganu bagi mendapatkan persetujuan dan kelulusan.

Rubiah berkata sekiranya segala perancangan berjalan lancar, agenda itu dijangka dapat direalisasikan pada tahun ini.

"Kita mempunyai dana peruntukan untuk melaksanakan program pembangunan di kawasan berkenaan, tapi perlu minta 'endorsement' (pengesahan) daripada kerajaan negeri untuk kelulusan," katanya.

Wilayah KETENGAH yang ditubuhkan pada 12 April 1973 meliputi kawasan seluas 1.3 juta hektar dengan jumlah penduduk sekitar 200,000 orang.

Kawasan pentadbirannya merangkumi tiga daerah iaitu Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman dengan lima pusat pentadbiran iaitu Pengkalan Gawi, Bandar Bukit Besi, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Bandar Ketengah Jaya, Bandar Seri Bandi dan Bandar Cheneh Baru.

-- BERNAMA