KUALA LUMPUR: Keterbukaan dan akses data adalah kunci tadbir urus dan intergriti yang baik bagi negara ketika berdepan COVID-19.

Demikian jelas Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar.

Ujarnya, kerajaan perlu lebih telus dan proaktif dalam isu data dan maklumat mengenai COVID-19.

"Sediakan data kepada semua pihak yang berkepentingan, termasuk media, orang awam dan NGO, agar semua orang mendapat informasi," katanya ketika berucap pada Simposium Tahunan Ketujuh, ECoFI 2021 secara dalam talian pada Rabu.

Tambahnya, taklimat kepada media perlu diperbanyakkan agar maklumat dan berita palsu dapat dikawal sekali gus mengurangkan kekeliruan rakyat.

Mengulas mengenai perolehan vaksin pula, Akhbar berkata kontrak harus diberikan kepada syarikat yang mempunyai rekod prestasi baik.

"Pembelian vaksin adalah perniagaan dan kerajaan perlu melakukan perincian terperinci agar kontrak diberikan kepada syarikat yang tepat.

"Garis panduan mengenai pembelian vaksin ketika darurat juga harus dirangka bagi jangka masa pendek.

"Bagi jangka masa panjang pula, harus ada kerangka etika bagi membuat keputusan ketika saat darurat mengikut undang-undang," jelasnya lagi.

Tambahnya, audit berkala juga perlu dilakukan selain mewujudkan badan pengawasan khusus dalam memastikan setiap pembelian yang telus.

Jelas beliau, sebagai contoh, Amerika Syarikat turut mempunyai badan pengawasan khusus iaitu sebuah jawatankuasa akauntabiliti tindak balas wabak.

Katanya, ia bagi memastikan setiap keputusan kerajaan dapat dipantau.