IPOH: Ketika negara mengalami masalah kekurangan beras puteh tempatan (BPT), Perak menemui usaha untuk mengusahakan semula tanah-tanah terbiar dengan tanaman padi.

Sebagai perintis, kerajaan negeri Perak akan memulakan  projek tanaman padi di kawasan tanah terbiar seluas lapan hektar di Kampung Kandang Hulu, Mukim Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar.

Menurut Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun, projek perintis itu adalah hasil kajian Stesen Penyelidikan Padi dan Beras, Universititi Sultan Azlan Shah (USAS).

Beliau berkata, projek tersebut akan menggunakan varieti padi NMR 152 yang dihasilkan oleh Agensi Nuklear Malaysia pada 2021.

“Jenis ini adalah tahan daripada cuaca, serangan penyakit dan yang lebih menariknya ialah dia tidak menggunakan banyak air seperti padi-padi tanaman padi yang lain.

“Memadai dengan keadaan air yang mungkin dalam semasa dalam satu sentimeter semasa untuk menentukan bahawa tanah itu tidak merekah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas diberi taklimat oleh USAS di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Kata Zolkafly, pihak USAS juga akan melaksanakan projek tanaman padi di dalam polibag di halaman 20 buah rumah di kampung sama.

Selain itu, jelas beliau, pihaknya merancang untuk turut memulakan projek tersebut di perkampungan Orang Asli seluruh negeri, bermula di kawasan Dewan Undangan Negeri Lintang.

Katanya, sekiranya berjaya, projek itu dilihat mampu membantu menyelesaikan isu sekuriti makanan kerana terdapat lebih 11,000 hektar tanah terbiar di Perak.

Sementara itu, Naib Canselor USAS, Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof berkata, kerja-kerja awal projek itu telah dimulakan dengan penglibatan pemilik tanah berkenaan.

“Sebenarnya projek ini sudah pun mula, perbincangan dengan ketua-ketua kampung, kenal pasti tanah-tanah terbiar di kawasan pun sudah dibuat, lawatan pun sudah dibuat, secara tidak rasminya sudah bermula.

“Kita jangkakan dalam tempoh enam bulan, kita akan nampak perkembangan peojek ini.

“Padi tersebut hanya akan mengambil masa 110 hari dan dalam tempoh enam bulan Insya-Allah akan nampak hasil,” ujarnya.

Menurutnya, berdasarkan kajian, projek tanaman padi itu mampu mengeluarkan hasil antara lapan hingga sepuluh metrik tan sehektar.