YAN: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mencadangkan penubuhan pasukan khas di peringkat kebangsaan yang menggabungkan kepakaran daripada pelbagai bidang termasuk berkaitan geologi, kejuruteraan serta pemetaan.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penubuhan itu bertujuan bagi mengkaji serta menguruskan kawasan-kawasan berisiko berlaku bencana geologi dan tanah runtuh di seluruh negara.

Tambah beliau, pasukan khas itu akan terdiri daripada ahli geologi, pakar air dan kejuruteraan dari agensi seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurut Takiyuddin, walaupun penubuhan pasukan khas itu masih di peringkat perbincangan awal, namun akan segera dipanjangkan ke mesyuarat Kabinet untuk menerima kelulusan.

"Setakat ini kita sudah ada pakar-pakar dalaman kita, kita ada Dr Ferdaus (Ahmad)
pakar geologi negara di bawah JMG dan saya kira kalau diperlukan mungkin kita akan dapatkan tenaga ataupun pandangan pakar-pakar, expert opinion daripada negara-negara luar yang banyak pengalaman lagi menghadapi perkara-perkara sebegini.

"Saya juga sebutkan, (penubuhan pasukan khas itu adalah) secara berintegrasi daripada geologist, daripada kejuruteraan, daripada tenaga-tenaga pakar, TNB (Tenaga Nasional Berhad) sendiri pun dia ada dia punya (pakar)… Insya-Allah kita akan bawa balik ke kementerian untuk mewujudkan tenaga pakar," kata beliau.

Takiyuddin berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan di lokasi kejadian tanah runtuh dan aliran puing sekitar Titi Hayun di sini, pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, KeTSA, kata beliau, akan turut mencadangkan pembangunan sistem amaran awal berkaitan pengesanan dan pemantauan kejadian tanah runtuh di kawasan kaki Gunung Jerai.

Pembangunanan sistem amaran awal itu, jelas Takiyuddin, bagi memastikan keselematan penduduk sentiasa terjamin dengan langkah berjaga-jaga  dapat diambil berdasarkan petunjuk awal yang diterima.

Bagi kerja-kerja pembaikan kawasan Taman Eko Rimba (TER) Titi Hayun, Batu Hampar dan Air Terjun Seri Perigi, beliau mengesahkan akan mengambil masa sekitar dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya.