Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) akan menggunakan sebahagian daripada RM2.6 bilion yang diperuntukkan kepadanya di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 untuk mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah.

Menterinya Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata kementeriannya menyasarkan Durasi Gangguan Rata-Rata Sistem (SAIDI) 250 minit setahun bagi setiap pelanggan di Sabah berbanding 311 minit tahun lepas.

"Semasa saya baru menjadi menteri, SAIDI hampir 700 minit sebelum dikurangkan beransur-ansur kepada 311 minit tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program kemasyarakatan dan kempen inovasi hijau di Kampung Kilan, di sini hari ini.

SAIDI merupakan indeks yang mengukur tempoh gangguan yang terjadi dalam selang waktu tertentu pada pelanggan.

Mengulas lanjut, Ongkili berkata peruntukan itu yang disalur terus oleh kerajaan persekutuan akan diguna untuk pelbagai kerja-kerja teknikal serta pemasangan peralatan bagi meningkatkan kecekapan penjanaan tenaga.

Katanya sesetengah kerja telah bermula tahun lepas termasuk membina lebih banyak transformer dan substesen.

"Kami juga menyediakan sedikit peruntukan untuk gotong-royong bagi memangkas dahan-dahan pokok yang bersentuhan dengan kabel elektrik yang boleh mendatangkan bahaya.

"Untuk ini kita perlu bekerjasama dengan penduduk. Takkan nak tunggu gangguan bekalan terjadi baru nak tebang pokok," katanya.

-- BERNAMA