Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memutuskan Ketua Jabatan diberikan kuasa untuk menilai secara lebih menyeluruh proses pemberian dan syarat kelayakan elaun khas kepada pegawai dan anggota kesihatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, keputusan itu adalah sebagai pemudah cara proses pemberian elaun khas tersebut.

Jelasnya, ketika ini terdapat perbezaan dari segi penentuan pegawai yang layak menerima elaun khas itu di peringkat fasiliti kesihatan di seluruh negara.

"Demi menghargai pengorbanan dan komitmen tidak berbelah bahagi pegawai dan anggota kesihatan terlibat, KKM memutuskan untuk mempermudahkan lagi pemberian elaun khas ini dengan menurunkan kuasa kepada Ketua Jabatan untuk menilai secara lebih menyeluruh.

"Langkah penambahbaikan tersebut akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Baru-baru ini, media melaporkan dakwaan pihak tertentu yang mempersoalkan kriteria dan syarat pemberian elaun khas daripada RM400 kepada RM600 sebulan seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhiyiddin Yassin pada 27 Mac lalu.

Elaun itu mula dibayar pada 1 April lalu dan akan diberikan sehingga wabak berkenaan berakhir.

Dr Adham menegaskan, kementerian amat prihatin dan sentiasa mengambil perhatian mengenai pandangan daripada banyak pihak yang diterima menerusi pelbagai saluran termasuk media sosial.

Sehubungan itu, beliau berharap isu elaun khas berkenaan dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin demi memastikan KKM terus fokus, pegawai dan anggota kesihatan kekal teguh serta saling menyokong antara satu sama lain dalam usaha menangani serta membendung penularan COVID-19. - BERNAMA