Kerajaan negeri Sarawak akan mempertimbangkan permohonan dana tambahan bagi membantu usahawan wanita yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik COVID-19 dalam negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan faham bahawa memang ada usahawan wanita yang tercicir daripada mendapat Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 2.0 dan Geran Khas Prihatin (GKP) kerana mereka menjalankan perniagaan mengeluarkan produk dari rumah sendiri tetapi tidak memiliki lesen yang diwajibkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Sebuah pasukan bertindak di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan membuat saringan pemohonan (bagi yang tercicir) dari bantuan itu dan perniagaan mereka akan dilesenkan untuk layak mendapat bantuan tambahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini.

Menurutnya Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah telah memaklumkannya tentang perkara berkenaan dan permohonan itu turut melibatkan bantuan untuk modal pusingan perniagaan sebelum ini.

"Sebelum ini kerajaan negeri memperuntukkan geran berjumlah RM2 juta kepada usahawan wanita dalam bentuk perkakasan, tetapi apabila pandemik COVID-19 berlaku dan PKP dilaksanakan, maka geran berkenaan ditukar kepada pemberian wang tunai," katanya.

Fatimah yang turut hadir dalam sidang media itu berkata dengan perubahan pendekatan ini, geran RM2 juta yang diberi sebelum ini akan memanfaatkan seramai 1,000 usahawan wanita bagi tujuan meneruskan perniagaan mereka.

Beliau berkata setakat 30 Julai lepas, 10,921 permohonan untuk geran berkenaan telah diterima dan menurutnya beliau memohon pertimbangan Ketua Menteri Sarawak untuk menambah peruntukan itu agar lebih ramai usahawan wanita dapat dibantu.

Sementara itu, Abang Johari dalam ucapannnya di majlis perasmian hari ini berkata Sarawak akan terus menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana tidak mahu mengambil mudah risiko wabak itu akan berulang.

Katanya lebih banyak lagi inisiatif yang akan diumum dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi memperkasa dan memajukan kedudukan kaum wanita Sarawak dalam era digital ini.

"Sebelum ini kita sudah membantu golongan wanita dengan pemberian insentif RM1,000 kepada setiap bayi yang dilahirkan, insentif RM450 kepada ibu yang bersalin, Kenyalang Gold Card kepada kaum wanita, bas sekolah percuma kepada pelajar dan tambang bas awam RM1 sahaja untuk lebih daripada satu perjalanan," katanya.

-- BERNAMA