KUCHING:Kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menukar nama Negeri Sarawak kepada 'Darul Hana' ataupun menggunakan nama 'Darul Hana' dalam merujuk kepada negeri berkenaan.

"Isu ini hanya dibangkitkan oleh parti PAS. Apa saja PAS nak cakap, cakaplah... tapi memang tidak ada cubaan (oleh kerajaan negeri) untuk menggunakan terma Sarawak Darul Hana," kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

"PAS sengaja mereka-reka isu ini kerana mereka tidak ada lagi isu berhubung kerajaan negeri," kata Abang Johari semasa diminta mengulas isu dimainkan PAS itu, yang mencetuskan bantahan dalam kalangan kelompok bukan Melayu dalam negeri, serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Apa yang kita ada sekarang hanya Jambatan Darul Hana dan Kampung Darul Hana," katanya ketika ditemui semasa merasmikan sambutan ulang tahun ke-24 Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan pelancaran mural "The Last Ring Ladies Mural" di Kota Padawan di sini hari ini.

Abang Johari berkata bagi menukar nama negeri kepada Sarawak Darul Hana, ia bukanlah sesuatu yang mudah, kerana ia perlu dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri terlebih dahulu untuk kelulusan.

Lima NGO tempatan sebelum ini dilaporkan berkata penggunaan terma sedemikian yang kerap, boleh menggugat keharmonian kaum dan agama dalam negeri.

Mereka menyuarakan bantahan terhadap beberapa pihak yang menggunakan 'Darul Hana' semasa merujuk kepada Sarawak, dengan mendakwa ia sebagai cubaan menukar identiti Sarawak dari sebuah negara sekular kepada negeri berasaskan agama.

Dalam satu kenyataan bersama sebelum ini, Dayak Think Tank Association, Dayak National Congress, Sarawak Iban Association, Persatuan Balang Balai Nyabong dan Sarawak Dayak Iban Association mahukan PAS serta lain-lain kumpulan, supaya menghentikan segera penggunaan terma 'Sarawak Darul Hana'.

Sementara itu merujuk kepada pilihan raya negeri (PRN) akan datang Abang Johari berkata, ia sebenarnya dirancang untuk diadakan tahun ini, namun disebabkan pandemik COVID-19, ia terpaksa ditangguhkan.

"Kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab. Keselamatan orang ramai didahulukan, jadi kita perlu menangguhkannya (PRN), tapi bila tarikh ia akan diadakan, saya masih tidak tahu," katanya.

Semasa ditanya wartawan sama ada ia akan diadakan pada bulan Februari atau Mac tahun depan, beliau menjawab "Itu pun saya tidak tahu".

-- BERNAMA