Ketua Polis Negara nafi Zakir Naik dihantar pulang ke India

Rahimah Abdullah
Julai 5, 2018 07:24 MYT
MOHD FUZI: Setakat yang saya tahu, tidak ada tindakan untuk bawa dia balik ke India dalam tempoh terdekat. - Gambar fail
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sekali lagi menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak membuat sebarang tindakan menghantar penceramah bebas Dr Zakir Naik pulang ke negara asalnya di India.
Beliau sekali gus menafikan laporan dibuat media di negara itu sebelum ini.
“Sudah cakap semalam. Di pihak PDRM, setakat yang saya tahu, tidak ada tindakan untuk bawa dia balik ke India dalam tempoh terdekat,” katanya semasa ditemui media selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Bulan Syawal di Ibu Pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa portal berita melaporkan pendakwah kontroversi itu akan dihantar pulang ke India pada Rabu malam.
Peguam yang mewakili beliau, Shaharuddin Ali, turut dipetik menafikan perkara itu dalam satu laporan.
Zakir yang memiliki taraf penduduk tetap Malaysia dilaporkan meninggalkan India pada 2016 selepas didakwa terbabit dengan kegiatan serangan pengganas di Dhaka selain pengubahan wang haram.
#India #Ketua Polis Negara #KPN #Mohamad Fuzi Harun #polis #Polis Diraja Malaysia #Zakir Naik