Firma audit terkemuka PricewaterhouseCoopers (PWC) mencatatkan peningkatan dalam indeks jenayah kolar putih di negara ini pada 2018.

Berbanding 28 peratus pada dua tahun lalu, indeks itu meningkat kepada 41 peratus tahun ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Seri Akhbar Satar kepada Astro AWANI.

Jelas beliau, perbuatan salah laku dan jenayah kolar putih dalam kalangan orang berpengaruh, berjawatan dan berprofil tinggi dalam sesebuah organisasi disebabkan oleh kurangnya aspek integriti.

“Dalam isu ini, terdapat ketua-ketua jabatan yang berpakat dengan pegawai-pegawai yang mereka percayai.

“Namun kebanyakannya berlaku disebabkan oleh kesepakatan dengan orang luar yang tidak dikenali oleh mereka yang di dalam (organisasi atau syarikat),” ujar beliau.

Jelas Akhbar, penglibatan orang luar yang mempunyai kepakaran itu menyebabkan kesukaran bagi pihak berkuasa menjalankan siasatan, seterusnya mendapatkan semula wang atau sebarang kerugian yang dialami.

Akhbar turut menggariskan beberapa sebab lain berlakunya jenayah, iaitu didorong oleh peluang-peluang sebagai ketua syarikat, tekanan daripada pasangan, mahupun aspek rasionalisasi iaitu dengan ‘melihat orang atas sebagai contoh dan panduan’.

“Sekiranya ketua saya di atas mengambil dan menerima rasuah, dan banyak kontrak-kontrak diberikan kepada adik-beradik mahupun kroni, saya juga mampu melakukannya.

“Sifat tamak manusia yang ingin hidup lebih mewah daripada pendapatan juga menyebabkan mereka terjerumus dalam jenayah ini,’’ katanya sebagai contoh.

BACA: Pasangan tidak saling mengenali lebih cenderung terlibat salah laku etika