KUALA LUMPUR: Ketua Wanita UMNO Bahagian Langkawi, Hisham Suhaily Othman disahkan positif COVID-19 sejak Selasa dan kini dirawat di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi.

Selain Hisham Suhaily, Ketua Puteri UMNO Bahagian Langkawi, Ummi Kalsom Abdul Muthalib serta lima Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO bahagian turut disahkan positif.

Difahamkan, mereka ini menjalani kuarantin kendiri di rumah, menurut laporan Utusan Online.

“Pada mulanya saya buat ujian kendiri air liur selepas menjadi kontak rapat kepada beberapa rakan yang disahkan positif COVID-19 selepas pulang melancong dari pulau ini.


[TERKINI] Rentas negeri pelancongan hanya untuk Langkawi - MOTAC

“Dua kali buat ujian air liur dan negatif, namun saya disahkan positif menerusi ujian RT-PCR (Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction) di sebuah klinik swasta pada Jumaat lalu,” katanya.

Tambah beliau, enam rakannya yang menjalani kuarantin kendiri turut disahkan positif.

Keputusan itu diperoleh selepas melakukan ujian RT-PCR sedangkan sebelum itu keputusannya adalah negatif setelah menggunakan kit ujian kendiri.

BACA: Tiada kes COVID-19 babitkan pelancong di Langkawi

“Saya mohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan sesiapa yang menjadi kontak rapat sejak 18 September lalu hingga Sabtu lalu diminta membuat ujian saringan COVID-19,” ujarnya.

Difahamkan, Hisham Suhaily dan beberapa pemimpin UMNO berjumpa rakan yang berkunjung ke Langkawi menerusi gelembung pelancongan, minggu lalu.

Rakan itu disahkan positif COVID-19 apabila kembali ke tempat asal selepas tamat percutian.