JIKA ada perancangan untuk bertandang ke negeri Jelapang Padi, Kompleks Pasar Bisik di Kuala Muda merupakan antara lokasi yang perlu ada dalam senarai kunjungan.

Selain terkenal dengan hasil tangkapan laut yang segar, keunikan proses jual beli di pasar berkenaan memberikannya identiti tersendiri sejak sekian lama.

Bagi orang luar, urusan jual beli dengan cara 'berbisik' mungkin kelihatan asing bagi mereka, namun itulah budaya yang telah menjadi tradisi unik di pasar ini sejak puluhan tahun lalu.

Menariknya di sini, pembeli yang bijak membuat tawaran harga yang menarik akan berjaya membawa pulang hasil tangkapan yang diidamkan dengan harga yang munasabah dipersetujui bersama.

Menjengah ke pasar ini, Astro AWANI, mendapati pembeli mula menantikan kepulangan nelayan yang membawa pelbagai hasil tangkapan segar antara jam 9 hingga 10 pagi.

Menurut seorang nelayan yang juga penjual ikan, Zahir Ismail berkata, budaya yang telah diamalkan sekian lama itu menjadi satu keseronokan bagi mereka yang sudah biasa berurus niaga di Pasar Bisik.

"Memang menarik sebab tak ada di tempat lain (berbisik) jadi bila orang ramai datang memang akan jadi riuh.

"Bagi orang luar yang baru datang pun mereka akan rasa seronok sebab cara jualan begini memang tiada di tempat mereka," katanya ketika ditemui Astro AWANI yang membuat tinjauan rakyat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah baru-baru ini.

Sementara itu, seorang pelanggan tetap di pasar berkenaan, Zainal Mat berkata, kualiti ikan di situ sememangnya tidak perlu dipersoalkan.

Apa yang penting katanya adalah bagaimana untuk 'memikat' hati nelayan untuk memperoleh harga yang berpatutan.

"Ikan memang segar kalau kita nak bandingkan dengan pasar yang lain sebab turun sahaja dari laut mereka (nelayan) akan terus bawa naik untuk jualan.

"Kena pandai bisik kalau nak dapatkan harga murah... jadi bagi pembeli yang dah biasa, mereka dah tahu harga dan kuantiti yang boleh mereka dapat," katanya.

Keunikan Pasar Bisik ini bukan sahaja menjadi tarikan pelancong dan penduduk setempat, namun ramai juga yang datang dari jauh semata-mata untuk membawa pulang hasil laut yang dijamin segar.

Di sebalik keunikan Pasar Bisik ini, ia juga pernah melakar sejarah hitam.

Tarikh 26 Disember 2004 menjadi detik tragis apabila kawasan ini turut musnah akibat tsunami.

Selain kemusnahan harta benda, bencana alam itu juga telah meragut beberapa nyawa di kawasan ini. Kesan bencana itu telah diabadikan melalui pembinaan Dataran Tsunami di sini.