Keyakinan rakyat adalah faktor penting dalam menjamin sebuah kerajaan itu berfungsi, kata Prof. Datuk Dr Rahmat Mohamad.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti & Alumni) Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, oleh itu, kerajaan perlu sentiasa mengutamakan isu ekonomi, kesihatan, kebajikan rakyat serta pendidikan.

Tegasnya, ia seharusnya juga selari dengan sistem penyampaian yang cekap dan tangkas terutama pada situasi pandemik COVID-19 kini.

"Rakyat menaruh harapan kerajaan sentiasa memberikan kebajikan yang terbaik kepada mereka dari pelbagai aspek.

"Oleh itu ketampakan melaksanakan inisiatif-inisiatif kebajikan rakyat itu adalah penting.

"Untuk itu mestilah ada sistem kolektif yang efisien dan cekap supaya inisiatif ini seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dilaksanakan sepenuhnya," katanya semasa dihubungi di sini, pada Selasa.

Sebelum ini, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, lebih 96 peratus daripada 41,386 responden Survei Khas Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) yang dilaksanakan mengakui berpuas hati dan memperoleh faedah daripada PRIHATIN.

Ujarnya, sebanyak 68.2 peratus daripada jumlah itu menyatakan menerima tiga bentuk bantuan, 13.9 peratus menerima dua bantuan dan 17.9 peratus menerima satu bantuan daripada Pakej Prihatin yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lalu.

Tambahnya, Survei Khas Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) itu dilaksanakan secara dalam talian pada 10 hingga 24 April lalu membabitkan responden di seluruh Malaysia berusia 15 tahun ke atas.

Dalam pada itu kata Dr Rahmat, persoalan sama ada kerajaan sekarang boleh diterima oleh rakyat sepenuhnya bergantung kepada tiga faktor.

"Ia termasuk kecekapan kepimpinan, pentadbiran dalam pengurusan cekap dan dan kemampuan melaksanakan inisiatif kerajaan serta keyakinan rakyat.

"Apapun yang penting ialah kecekapan sistem penghantaran kerajaan (kepada rakyat)," ujarnya lagi.