KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengisi kekurangan guru di Sarawak dengan segera.

Gesaan dibuat selepas ramai guru di negeri itu mengadu berdepan masalah pengagihan mata pelajaran dan tugasan lain.

Menurut Presiden KGBS, Ahmad Malie, disebabkan kekurangan ini, pihak pentadbir sekolah juga berdepan masalah sama.

“Gesaan ini dibuat kerana keadaan yang kritikal ini di mana pihak KGBS ada menerima aduan daripada guru-guru yang mengeluh dengan masalah kekurangan guru di sekolah mereka sehingga ke hari ini.

“Untuk itu dengan gesaan ini diharapkan agar masalah yang didepani guru-guru di Sarawak dapat diatasi sebaiknya,” katanya.

Selain itu ujarnya, KGBS juga tidak mempunyai halangan sekiranya guru yang dihantar bukan dalam kalangan rakyat negeri Sarawak.

Malah, pihaknya amat mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk mengisi kekosongan ini.

“Kita (KGBS) mengharapkan agar kekosongan ini boleh segera diisi dan kami tidak kisah dengan latar belakang seseorang guru tersebut.

“Sekiranya pemilihan dibuat berdasarkan asal-usul seseorang guru itu, kita khuatir bahawa masalah sama akan terus wujud,” tambahnya.

Justeru, KGBS memohon agar KPM dapat mempertimbangkan rayuan ini sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan guru yanh dihadapi negeri Sarawak.

Ahmad berkata demikian ketika majlis sidang akhbar di pejabat KGBS pada Sabtu.