REMBAU: Selepas 30 minit menerima suntikan vaksin Sinovac, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara berseloroh menyatakan beliau kini sudah fasih bertutur dalam Bahasa Mandarin.

Dalam sidang media di Hospital Rembau pada Rabu, Ahli Parlimen Rembau itu memulakan sidang media dengan bahasa Mandarin dan kemudian menerangkan maksudnya.

"Saya sebutkan tadi bahawa saya telah menerima vaksin Sinovac dan bahasa Mandarin saya sekarang tiba-tiba sangat fasih," katanya sebelum disambut dengan ketawa daripada media.

Beliau kemudian dalam sidang media sama memberitahu beliau dan 10 lagi barisan hadapan merupakan penerima terawal vaksin tersebut.

Lepas suntik Sinovac, Khairy Jamaluddin terus fasih bahasa mandarin

BACA: Tidak perlu lagi ragu keselamatan, keberkesanan vaksin Sinovac -Khairy

BACA: Khairy selesai disuntik, jadi individu pertama di Malaysia terima vaksin Sinovac

BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19 di sini.

Ketika ditanya sebab beliau memilih Sinovac berbanding Pfizer BioNTech, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau mahu menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa vaksin itu juga selamat dan berkesan.

"Saya pilih Sinovac Sebab rakan saya lain ambil Pfizer. Jadi ads rakyat Malaysia kata vaksin itu selamat tapi tak pasti untuk vaksin lain.

"Jadi saya kata baik, saya ambil vaksin ini (Sinovac) supaya mereka lihat menteri yang bertanggungjawab dalam program imunisasi kebangsaan juga ambil vaksin ini," ujarnya.

Beliau selesai menerima vaksin Sinovac tepat jam 1.32 tengah hari tadi dan beliau disuntik oleh Ketua Penyelia Jururawat Hospital Rembau, Salha Abd Samad.

Khairy Jamaluddin dilihat tenang ketika menerima vaksin tersebut manakala proses suntikan pula tidak mengambil masa lama, tidak sampai satu minit.

Selepas Ahli Parlimen Rembau itu selesai divaksin, kakitangan hospital dan kementerian kemudian memberikan tepukan, simbolik penyempurnaan pemberian vaksin Sinovac yang pertama di Malaysia.