Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menggesa ahli-ahlinya supaya tidak bersandar kepada kelemahan pembangkang untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Sebaliknya beliau menyeru supaya ahli pergerakan Pemuda UMNO supaya berjuang atas kekuatan dan kehebatan sendiri serta tidak menafikan kelemahan yang nyata.

"Kita mesti menang bukan atas kekurangan musuh tetapi atas kehebatan kita sendiri. Tetapi jangan kita ingat perang yang akan datang itu sesuatu yang mudah. Kita berada dalam persekitaran politik yang amat mencabar.

"Betul kita menang PRU lepas tetapi kita masih tidak dapat menebus maruah kita sepenuhnya. Di bandar kita ketinggalan, undi bukan Bumiputera kita ketinggalan, undi popular pula tidak memihak kepada kita.

"Jangan kita nafikan kelemahan yang nyata," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Khairy juga mengingatkan ahli-hali pergerakan Pemuda UMNO bahawa peranan mereka penting untuk memenangi hati dan jiwa pengundi muda pada PRU14.

Katanya, UMNO sebagai sebuah parti utama dalam negara tidak pernah lekang dari diuji dan telah bangkit berkali-kali dalam sejarah.

Khairy yang juga ahli parlimen Rembau meminta ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO supaya bersatu untuk mengatasi cabaran mendatang.

"Saudara semua telah memberi mandat yang besar untuk saya kekal sebagai Ketua Pemuda, tetapi saya tidak mampu melaksanakan tangggungjawab ini sendirian.

"Saya pohon bantuan anda semua, saya perlukan kita semua bersatu, hanya dengan bersatu kita mampu mengatasi cabaran mendatang," katanya.

Dalam ucapannya juga, Khairy menegaskan perjuangan Pemuda UMNO yang progresif dewasa ini bukan bermakna menafikan kaedah pemimpin pergerakan itu sebelum ini.

Katanya, pendekatan progresif yang dibawa kerana Pemuda UMNO menyedari perjuangan mereka bukan sekadar melaungkan "Hidup Melayu" tetapi nasib anak bangsa masih ditakuk lama.

"Walau ada antara kita yang berasa cukup hanya dengan bersorak “Hidup Melayu,” kita jangan ambil pendekatan yang serupa. “Hidup Melayu” itu sudah ketentuan – tapi soalnya kita mahu Melayu hidup bagaimana?

"Sudah tentu lebih mulia bila Melayu hidup bermartabat dari hidup merempat. Sudah tentu lebih penting hasil dan keberkesanan program kita dari melaungkan slogan semata-mata," katanya lagi.

Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO yang dihadiri 989 perwakilan dari seluruh negara bermula hari ini selepas dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.