Sudah tiba masanya untuk satu 'tawaran baharu' diberikan kepada generasi muda bagi membuktikan kerajaan mengakui mereka sebagai golongan penting untuk sama-sama membangunkan negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sehubungan itu, Barisan Nasional (BN) perlu mengenal pasti sekali gus memperuntukkan manifesto khusus kepada golongan muda menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurutnya, melihat kepada komitmen kerajaan sebelum ini, UMNO khususnya memandang serius usaha meremajakan parti, bukan sahaja dari segi pemimpin tetapi juga dasar-dasar yang memberi fokus kepada golongan itu.

"Saya sedang berusaha untuk menyediakan idea bagi manifesto itu dan saya berharap ia dapat diterima Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk dimasukkan dalam manifesto BN," kata Khairy.

'Tawaran baharu' ini akan merangkumi semua aspek, baik dari segi pekerjaan, perumahan, keusahawanan serta segala aspek yang diberi penekanan dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Ditanya mengenai keyakinan UMNO terutamanya sayap Pemuda dalam meraih sokongan generasi muda, Khairy optimis dan percaya golongan muda mampu menilai kemampuan serta prestasi kerajaan sedia ada.

"Jika kita lihat, 20 peratus pengundi pada PRU14 adalah pengundi baharu atau pengundi kali pertama dan mereka tidak mempunyai kesetiaan kepada mana-mana parti.

"Jadi, ini adalah peluang kita untuk yakinkan mereka bahawa BN mampu menawarkan perancangan bukan sahaja bagi jangka masa pendek tetapi juga jangka masa panjang," katanya.