KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) terus aktif membantu bekas atlet negara dengan menghulurkan bantuan perubatan berjumlah RM17,000 kepada legenda bola sepak, Khalid Ali bagi rawatan kanser paru-paru yang dihadapinya.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata sumbangan dipohon pemain berusia 66 tahun kepada yayasan tersebut untuk membeli ubat suntikan Pembrolizumab 100 miligram (mg).

"Ubat berkenaan adalah untuk proses susulan selepas bekas pemain tengah skuad kebangsaan era 80-an itu menjalani dua rawatan kimoterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 18 April dan 10 Mei lalu.

"Beliau layak mendapat bantuan berkenaan seperti termaktub dalam Skim Bantuan Khas YAKEB di bawah Bantuan Pembiayaan Rawatan Penyakit Kritikal di mana setiap ahli boleh menerima maksima RM20,000 bagi setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah pemain tersebut, di sini semalam.

Terdahulu, sumbangan itu disampaikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.

Khalid, yang merupakan antara watak penting kejayaan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, disahkan menghidap kanser paru-paru pada April lalu.

-- BERNAMA