Sebut sahaja 'Komuniti Abang Pilot Jenazah Lahad Datu' atau van jenazah percuma pasti kebanyakan masyarakat di sekitar Pantai Timur Sabah mengetahui perkhidmatan mulia mereka.

Terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan, kumpulan ini menjadikan aktiviti menghantar dan mengebumikan jenazah sebagai kerja amal tanpa mengenakan bayaran.

Astro AWANI berpeluang menyelami aktiviti mereka termasuk melihat kaedah jenazah individu dalam siasatan (PUI) COVID-19 diuruskan dari hospital sehingga ke tanah perkuburan.

Pengurus kumpulan itu, Zaiddin Abdul Rahim atau lebih dikenali sebagai Abang Joy, berkata perkhidmatan percuma mereka bukan sahaja terhad kepada penyediaan van jenazah, malah kadang-kadang mengebumikan jenazah pesakit PUI COVID-19.

"Cabaran kami sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) adalah kami kerap membawa jenazah yang disyaki dijangkiti virus itu.

"Ia memerlukan kami memakai pakaian perlindungan diri (PPE) yang menyebabkan tidak selesa disebabkan terlalu panas.

"Kami perlu memakainya dari mula proses mengambil jenazah sehingga selesai pengebumian," katanya di sini.

Menceritakan lanjut mengenai aktiviti mereka, katanya van yang digunakan adalah hasil sumbangan dan wakaf orang ramai.

Beliau berkata, walaupun berdepan cabaran, mereka akan tetap meneruskan akviti berkenaan kerana menganggapnya sebagai tanggungjawab dan amanah.