Kibar bendera Israel termasuk perbuatan melampaui batas syarak - Mufti WP

Mufti Wilayah Persekutuan Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil berkata tindakan itu juga bercanggah dengan dasar luar Malaysia yang menolak sebarang hubungan dengan Israel. - Foto Facebook Dato' Setia Dr. Naim
KUALA LUMPUR: Tindakan mengibarkan bendera Israel secara terbuka adalah dilarang kerana termasuk dalam perbuatan yang melampaui batas syarak apabila menzahirkan pengiktirafan terhadap kezaliman dan menyinggung sensitiviti umat Islam di seluruh dunia.
Mufti Wilayah Persekutuan Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil berkata tindakan itu juga bercanggah dengan dasar luar Malaysia yang menolak sebarang hubungan dengan Israel.
"Oleh itu, umat Islam sewajarnya lebih berhati-hati dan berwaspada dalam perkara yang boleh membawa kepada salah faham atau fitnah terhadap agama Islam dan perjuangan ummah Palestin," katanya dalam Tinta Mufti Bil 30/2025 yang dimuat naik menerusi laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.
Ahmad Fauwaz berkata tindakan mengibarkan bendera rejim Zionis merupakan perkara yang amat sensistif kerana ia berkait rapat dengan simbol kezaliman, penjajahan dan penindasan berpanjangan terhadap umat Islam di Palestin.Sehubungan itu, katanya tindakan umat Islam mengibarkan bendera Israel secara asasnya adalah dilarang kerana ia mengandungi unsur-unsur pengakuan atau pengiktirafan terhadap Israel, bahkan seolah-olah membenarkan kekejaman dan pembunuhan umat Islam di Gaza dan Palestin.
Ahmad Fauwaz berkata lazimnya perbuatan mengibarkan bendera secara terbuka dikaitkan dengan suatu bentuk pengiktirafan, penghormatan serta kecintaan terhadap entiti yang diwakili bendera itu dan dalam konteks hubungan antarabangsa, perbuatan terbabit sering kali ditafsirkan sebagai isyarat persahabatan, persetujuan atau pengakuan terhadap legitimasi entiti tersebut.
Beliau berkata Malaysia secara konsisten tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang berdaulat dan tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik, sejajar dengan pendirian Malaysia yang menyokong penuh perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut hak kemerdekaan mereka.
"Tambahan pula, kerajaan Malaysia juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan dan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
"Antaranya menerusi kenyataan rasmi Wisma Putra dengan menyifatkan tindakan Israel sebagai barbaric airstrikes iaitu tidak bertamadun dan menyeru masyarakat antarabangsa agar segera mengambil tindakan menamatkan kekejaman yang berlaku," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami