PORT DICKSON: Sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan sama ada bertindak mengibarkan bendera putih atau tidak, wajar dibantu dengan segera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata walaupun pelbagai pandangan dikemukakan termasuk oleh mufti-mufti, namun kebanyakannya bermatlamat untuk membantu golongan yang terkesan ekoran pendemik COVID-19.

"Yang penting kita turun padang, tak kisah ada bendera ke tak ada bendera, orang dalam susah kita bantu," katanya dilaporkan Bernama selepas menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan sempena program Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini hari ini.

BACA: #BenderaPutih: Siapa terawal? Siapa mulakan dan apa rasional di sebalik warna putih?

BACA: PEMULIH: Golongan miskin tegar, B40, M40 dapat Bantuan Khas COVID-19 bermula Ogos - PM

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pelbagai pandangan yang disuarakan oleh beberapa pihak berhubung tindakan mengibar bendera putih sebagai isyarat meminta pertolongan.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata orang ramai juga boleh meminta bantuan dengan menghubungi talian yang disediakan menerusi laman sesawang atau Facebook agensi di bawah seliaan beliau termasuk Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan YaPEIM.

Beliau berkata setakat ini bantuan bernilai lebih RM700 juta disalurkan kepada orang ramai di seluruh negara melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Pusat Pungutan Zakat dan Jabatan Agama Islam Negeri serta Yadim.

Sementara itu, mengenai prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan ibadah korban bersempena sambutan Aidiladha bulan ini, beliau berkata ia tertakluk kepada Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.

Katanya Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) sebelum ini memutuskan ibadat korban dibenarkan, namun perlu mengikut SOP yang diwartakan Majlis Keselamatan Negara selain nasihat mufti setiap negeri.

BACA: PEMULIH: Bantuan Bakul Makanan, dana RM300,000 kepada Ahli Parlimen diagih hari ini

BACA SEMUA BERKAITAN PEMULIH DI SINI

Sementara itu di Pasir Mas, Kelantan Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat Ahmad Fadhil Shaari berpendapat bendera putih adalah lambang isyarat kecemasan yang perlu diberikan perhatian termasuk pihak masjid, jiran tetangga, madrasah dan wakil rakyat kawasan.

"Dalam situasi sekarang mungkin ada orang yang perlukan lampin pakai buang untuk anak-anak dan ada yang perlukan beras, malah ada juga yang perlukan wang bagi membayar sewa rumah," katanya kepada Bernama sambil berharap isu itu tidak terus dipolitikkan.

Dalam situasi negara berhadapan pandemik yang mengakibatkan ramai rakyat terjejas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Isnin lalu.

Antara lain, kerajaan akan memberi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 termasuk golongan bujang bermula Ogos, yang memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM300,000 juga disalurkan kepada semua Ahli Parlimen, termasuk wakil rakyat pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan untuk rakyat terjejas akibat COVID-19.

Turut diumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi tujuan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.