MALAYSIA
Kibar Jalur Gemilang terbalik: AMK Pulau Pinang tuntut siasatan, tindakan tanpa kompromi

Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, jika perkara itu terbukti disengajakan, tindakan undang-undang tanpa kompromi perlu diambil kepada pihak terlibat.
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menuntut siasatan serta-merta oleh pihak berkuasa susulan tular video rakaman memaparkan Jalur Gemilang dikibar secara terbalik yang dipercayai berlaku di hadapan premis perniagaan di Taman Bertam Perdana, Kepala Batas.
Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, jika perkara itu terbukti disengajakan, tindakan undang-undang tanpa kompromi perlu diambil kepada pihak terlibat.
“Selain itu, AMK Pulau Pinang menuntut pemilik premis tampil memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Semua pemilik premis di Pulau Pinang juga perlu memastikan bendera negara dikibarkan dengan betul, mengikut protokol dan dengan penuh rasa hormat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Mengulas lanjut, Muhammad Zakwan berkata pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut, yang disifatkan sebagai biadab.
Katanya lagi, tindakan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan menghina maruah negara.
“Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan, perpaduan dan harga diri rakyat Malaysia.
“Mengibarkannya secara terbalik adalah satu penghinaan yang tidak boleh diterima sama sekali, lebih-lebih lagi ketika kita sedang menyambut bulan kemerdekaan,“ tambah beliau.
Dalam pada itu, Muhammad Zakwan berkata AMK Pulau Pinang mengingatkan semua pihak bahawa Jalur Gemilang bukan hiasan semata-mata.
Sebaliknya, tegas beliau ia lambang pengorbanan pejuang kemerdekaan dan identiti negara tercinta.
“Mengabaikan atau mempermainkannya adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap nilai patriotisme.
“AMK Pulau Pinang tidak akan berdiam diri apabila simbol negara dihina.
“Kami berdiri teguh bersama rakyat yang cintakan Malaysia, menuntut keadilan dan memastikan perkara seperti ini tidak berulang.
“Cukup-cukuplah dengan alasan "tidak sengaja" atau "silap pasang". Kita memerlukan kesedaran, bukan alasan,” ujar beliau.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman dua lelaki dipercayai pekerja sebuah kedai perkakasan, yang bertindak memasang dan mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik.
Dalam rakaman berdurasi 21 saat itu, seorang lelaki kelihatan memasang Jalur Gemilang terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakam aksi tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami