Kidex Sdn Bhd (KSB) hari ini memaklumkan bahawa pihaknya sedang menunggu maklumbalas dari Kerajaan Persekutuan berhubung pembatalan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex) oleh kerajaan Selangor.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KSB, Datuk Mohd Nor Idrus, ini adalah kerana perjanjian konsesi yang ditandangani pada November 2013 melibatkan pihak KSB dan Kerajaan Malaysia.

"Pada November 2013, satu perjanjian konsesi (CA) telah ditandatangani untuk membina lebuhraya sepanjang 14.9 kilometer tersebut.

"Kita sekarang sedang menunggu maklumbalas dari pihak Kerajaan, kerana ia merupakan pihak yang terlibat dalam perjanjian. Dalam pada itu, kami akan meneruskan perbincangan dengan kerajaan negeri (Selangor)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Nor turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang melanjutkan tempoh perjanjian terdahulu, seperti yang tertera pada CA, kepada sembilan bulan bermula 15 Februari 2014 dan akan berakhir pada 14 November 2015.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan oleh pejabatnya hari ini telah mengumumkan pembatalan pembinaan lebuhraya Kidex.

Menurut kenyataan tersebut, tindakan itu diambil kerana kerajaan negeri mendapati pihak Kidex gagal mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui sebelum tarikh akhir 14 Februari 2015.

Kerajaan Selangor sebelum ini telah meminta syarikat itu untuk menyediakan penilaian bebas tentang impak lalu lintas, sosial dan alam sekitar untuk membuktikan manfaat lebuh raya itu kepada penduduk di kawasan yang terlibat.

Pihak konsesi juga telah diminta memberikan anggaran rasmi jumlah tol yang akan dikutip dan kadar pulangan kepada pelaburan.

Sementara itu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) Faekah Hussin berkata kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan projek Kidex kerana perjanjian itu telah dicapai di antara kerajaan Persekutuan dan syarikat konsesi, lapor akhbar The Star.

Katanya kerajaan negeri hanya ditugaskan untuk menyediakan tanah dan tidak terlibat dalam perjanjian itu.

Tambahnya lagi, dengan mengumumkan 'pembatalan' perjanjian tersebut, Pakatan Rakyat yang menerajui Selangor, kini terdedah kepada tindakan undang-undang.