SEBERANG PERAI:Sebuah kilang makanan di Perai dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden pencemaran sungai hingga menyebabkan ribuan ekor ikan di Sungai Perai mati  minggu lepas.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata,  siasatan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang ramai berhubung kejadian pencemaran di sungai berkenaan.

Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati kilang terbabit melepaskan sisa buangan berwarna putih hasil daripada proses pembuatan serta aktiviti cucian menyebabkan Sungai Perai tercemar.

"Kilang tersebut dikompaun sebanyak RM18,000 kerana kesalahan melepaskan efluen dari kilang ke Sungai Perai  dan mereka juga diarahkan untuk menghentikan serta-merta aktiviti tersebut,'' katanya di sini, hari ini.

Sharifah Zakiah berkata tindakan kompaun ke atas kilang tersebut dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Beliau berkata, JAS akan terus meningkatkan pemantauan  di sekitar kawasan Sungai Perai.

Dalam pada itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pencemaran boleh membuat aduan ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Minggu lepas, ribuan ikan ditemui mati dan terdampar di Sungai Perai, sekali gus menggemparkan penduduk di Taman Kimsar yang melaporkan insiden berkenaan kepada JAS.