GERIK: Kerajaan Perak menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (PPPNP) dicadangkan untuk membina sebuah kilang memproses durian di Daerah Pengkalan Hulu.

Ini kerana, daerah berkenaan amat terkenal dengan tanaman durian jenis musang king dan duri hitam, di keseluruhan kawasan seluas 10,000 ekar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim berkata, durian Pengkalan Hulu bukan sahaja digemari pelancong tempatan malah turut menjadi buruan pelancong negara jiran, Thailand.

Katanya, sekiranya usaha berkenaan direalisasikan, harga pasaran raja buah itu dapat dikawal selain orang ramai berpeluang menikmatinya tanpa mengira musim.

“Saya nak cadangkan supaya ada kilang yang boleh memproses durian-durian di Pengkalan Hulu ini. Ia boleh membekukan tanaman tersebut, untuk disimpan dan boleh bertahan sampai enam bulan.

“Apabila hendak dimakan ataupun hendak pasarkan keluar negara secara komersial, kita boleh keluarkan ia (pada bila-bila masa).

"Ini secara tidak langsung, membuatkan harga durian akan terkawal kerana tidak ada lambakan buah.

“Seterusnya, dalam usaha ini, saya mahu Negeri Perak ini dapat menjadi negeri pertama yang mana kita boleh menikmati buah durian musang king ataupun duri hitam, sepanjang tahun tanpa mengira musim di Pengkalan Hulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival Jom Makan Durian Musang King Pengkalan Hulu di sini, semalam.

Foto Astro AWANI

Dalam pada itu, Aznel memberitahu, ketika ini terdapat tiga premis pusat pengumpulan kulit dan biji durian di daerah berkenaan, antaranya di Kampung Kilan Intan dan Kampung Tasek.

Katanya, inisiatif yang telah digerakkan sejak dua tahun lalu itu sebagai usaha menjana pendapatan tambahan buat para pengusaha tanaman durian tempatan.

Menurutnya, kulit durian yang diproses akan dieksport ke Perlis sebagai bahan makanan untuk haiwan ternakan seperti lembu sementara biji durian dieksport ke Thailand bagi dijadikan bahan campuran untuk pembuatan barangan kosmetik.

Foto Astro AWANI

“Antara usaha yang telah saya lakukan adalah dengan mengadakan pusat-pusat pengumpulan kulit durian yang mana ia dapat diproses dan dihantar ke Perlis untuk dijadikan bahan makanan lembu ternakan.

“Justeru, di Pengkalan Hulu, kulit durian ini menjadi satu bahan yang ada harganya.

“Selain itu, biji-biji durian yang dikumpul juga kita proseskan melalui kilang-kilang kecil. Biji durian ini kita beli dengan harga RM4 satu kilogram dan dieksport dengan harga RM8 sekilogram ke Thailand.

“Ini kerana saya difahamkan, biji durian diguna pakai dalam penghasilan bahan-bahan kosmetik di sana,” jelas beliau.