Skip to main content

Malaysia

Kipas siling jatuh: Murid tahun dua terima ganti rugi RM6,000 

71743102937_courtgavel.jpg
Ganti rugi berkenaan merangkumi ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh plaintif yang kini berusia 12 tahun berikutan kecederaan dialami. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Selama di Perak memerintahkan kerajaan dan empat pihak lain membayar ganti rugi berjumlah RM6,000 kepada seorang murid perempuan tahun dua yang cedera selepas kipas siling tercabut dan menimpanya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. 

Majistret R. Prabakaran membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan pada Jan 2024 melalui bapanya sebagai plaintif terhadap guru besar sekolah rendah berkenaan, Pegawai Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama, Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Ketua Pengarah Pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga kelima. 

Advertisement

Mahkamah mendapati defendan pertama hingga keempat gagal mengambil langkah munasabah untuk memastikan kipas siling itu berada dalam keadaan selamat dan disenggara dengan baik.

Ganti rugi berkenaan merangkumi ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh plaintif yang kini berusia 12 tahun berikutan kecederaan itu, bagaimanapun mahkamah menolak tuntutan bagi ganti rugi khas, punitif dan teladan.

Dalam insiden pada 10 pagi, 18 Okt 2022 itu seorang murid perempuan patah jari tangan kiri apabila kipas siling dalam kelasnya di sebuah sekolah rendah di Selama terjatuh lalu mengenai mangsa dan difahamkan tiga lagi murid berumur lapan tahun turut mengalami kecederaan ringan.

Berdasarkan alasan penghakiman perbicaraan penuh bertarikh 23 Mac 2026, mahkamah mendapati kewujudan kipas siling yang dipasang di atas ruang pembelajaran murid merupakan suatu risiko yang boleh dijangka secara munasabah kerana kipas siling ialah peralatan berat yang bergantung kepada struktur pemasangan dan penyelenggaraan yang berterusan.

“Kegagalannya tidak berlaku secara luar biasa tanpa sebarang punca tetapi lazimnya berkait dengan faktor-faktor seperti penyelenggaraan yang tidak mencukupi, kehausan komponen atau kecacatan pemasangan. Oleh itu, risiko kipas siling bermasalah sehingga boleh jatuh adalah suatu risiko yang secara munasabah boleh dijangka oleh pihak sekolah.

“Keduanya, saksi defendan pertama (SD1) (guru besar sekolah plaintif) cuba bergantung kepada amalan pemeriksaan secara “lihat dan dengar” oleh guru bagi memastikan sama ada terdapat kerosakan pada kipas siling tersebut di mana hanya sekiranya terdapat bunyi mencurigakan atau keadaan yang kelihatan tidak teratur baru laporan akan dibuat,” kata majistret itu.

Selain itu, mahkamah mendapati defendan menyatakan bahawa langkah-langkah munasabah telah diambil untuk memastikan kipas yang jatuh disenggara dengan baik dan insiden berkenaan berlaku secara tiba-tiba serta tidak dapat dijangka.

“SD1 juga telah memberikan keterangan bahawa kipas itu telah disenggara dan bahawa wujud satu laporan penyelenggaraan rutin kipas di sekolah berkenaan. Namun demikian, laporan tersebut tidak dikemukakan kepada mahkamah.

“Bukan itu sahaja, SD1 turut memaklumkan pihak sekolah telah melaporkan insiden kipas jatuh tersebut kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Larut Matang dan Selama dan satu laporan berhubung insiden tersebut telah dikeluarkan oleh pihak JKR. Walau bagaimanapun, laporan tersebut juga tidak dikemukakan kepada mahkamah,” katanya.

Prabakaran memutuskan dokumen-dokumen itu sangat penting kerana ia berupaya menjelaskan punca sebenar mengapa kipas siling berkenaan jatuh pada hari kejadian.

Dalam kes ini, majistret itu turut memutuskan bahawa kecederaan dialami plaintif adalah patah tulang metakarpal kedua tangan kiri (jari kedua tangan kiri) serta kecederaan tisu lembut pada bahagian dada tengah.

“Kecederaan tersebut disokong oleh keterangan saksi plaintif pertama (SP1), iaitu doktor yang merawat plaintif. Mahkamah menerima keterangan SP1 dan berpuas hati bahawa kecederaan dialami adalah akibat langsung daripada insiden kipas siling yang jatuh menimpa plaintif.

“Mahkamah juga mengambil kira keterangan SP1 bahawa plaintif telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan tersebut,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video