Enam tahun lalu, saya menjadi sebahagian daripada wajah kota New York. Pengajian tinggi saya ditauliahkan dari Universiti Wisconsin, Milwaukee – sebuah bandar sederhana yang mengutamakan perdagangan keju dan bir dengan populasi kecil 600,000 manusia. Dua belas tahun lamanya di sana, menyandang dua ijazah, empat tahun pengalaman bekerja, saya terilham mencari peluang pekerjaan di bandar yang lain pula. Yang terlintas di fikiran saya adalah New York. Mengapa? Pertama, saya menghajati bandar lebih besar daripada Milwaukee. Kedua, Daman, kawan karib saya ada di New York dan lagipun saya ini peminat setia siri Sex and The City!

Saya tiba di Kota New York pada penghujung Musim Luruh, awal 2004, di Lapangan Terbang La Guardia (kecil dan suram jika dibandingkan dengan lapangan terbang lain seperti LAX di Los Angeles and O’Hare di Chicago). Udara di luar sejuk sampai ke tulang sulbi. Daman tidak dapat menjemput, lalu saya menaiki bas, sampai di Penn Station. Sudah dua tahun lebih selepas peristiwa 9/11, penduduk New York ketika ini masih lagi sedang dalam fasa pemulihan. Suasana sedih dan pahit masih dirasai. Musim Sejuk di kota ini agak panjang jika dibanding dengan bandar lain di Amerika Syarikat lantaran kedudukannya berdekatan Lautan Atlantik. Warga kota kelihatan resah. Mungkin sudah jemu dengan keadaan sejuk.

Jalan di kota ini sangat kotor dan berbau kencing. Peminta sedekah dan gelandangan tidak berumah membawa troli, berkeliaran meminta duit kecil daripada orang. Saya yang berada di tepi jalan terkejut apabila hampir dilanggar “Bike Messenger” (dispatcher berbasikal) yang berdesup laju. Di tepi jalan, beg-beg sampah membusut setinggi lebih satu meter di depan setiap bangunan. Saat itu saya tersedar, saya bukan berada di Wisconsin lagi. Daman menolong saya mencari kerja di Chelsea dan saya berkongsi apartmen bersama dua orang lain di Chinatown dengan sewa bilik menelan separuh daripada gaji sebulan saya.

Kata Orang Banyak ‘Gangster’ Tapi Rupa-rupanya…

Pada satu hari yang indah pada bulan April, Daman mengajak saya ke tempat tinggal lamanya Washington Heights yang terletak di penghujung utara pulau ini. Gusar dan was-was. Khabarnya, tempat ini penuh ‘gangster’. Menaiki keretapi bawah tanah, kami berhenti di stesen 190th. Sangkaan saya meleset. Tiada kereta buruk, tiada dinding bergrafiti, jauh sekali gangster jalanan.

Kami meneruskan perjalanan ke tempat yang dipanggil Fort Tryon Park yang membingkai pemandangan indah sungai Hudson. Bunga-bunga liar Geranium, Azalea dan Dianthus serta Crocus, Tulips dan Daffodils amat mengasyikkan. Tiba-tiba saya terpandang sebuah bangunan di atas bukit, ‘Medieval Castle’. Saya terpegun. Daman tahu minat saya terhadap apa jua elemen dari zaman Medieval kerana saya peminat tegar siri TV dan filem King Arthur dan Robin Hood. Teruja!

“This is The Cloisters Museum!” Teriak Daman. “Clo what...?” Saya bertanya. Cloisters adalah bangunan berbentuk empat segi dikelilingi tempat berjalan beratap (open galleries). Di dalamnya, ruang terbuka sepanjang dinding bangunan itu. Ia sebenarnya sebahagian daripada bangunanMonestary untuk agama Kristian pada zaman silam Eropah.

Saya hairan. Mengapa pula bangunan ini di sini sedangkan New York hanya diterokai oleh orang Eropah pada kurun ke-16? Kami membayar 2 USD untuk tiket masuk walaupun tertulis 20 USD kerana di New York, kebanyakan yuran masuk muzium dikenakan sebagai dana sahaja. Beberapa saja pun boleh!

Cloisters New York ini adalah gabungan daripada lima Cloisters lain dari Perancis. Saint-Michel-de-Cuxa, Saint-Guilhem-Le-Desert, Bonnefent-En-Comings, Trie-En-Bigorre dan Froville dipecahkan satu persatu dan dibawa ke New York antara tahun 1934 hingga 1938 lalu disambung dan dibina semula menjadi Muzium Cloisters di Tryon Park ini. Terdapat 5000 artifak Medieval, hasil kerja logam dan besi, pedang, manuskrip, skrol dan buku-buku dari zaman itu. Ada juga kitab-kitab purbakala seperti buku ahli sihir zaman lampau. Di tengah Cloisters pula, tersedia taman dipenuhi bunga-bunga liar. Landskap taman ini dibina mengikut informasi hortikultural yang diekstrak daripada manuskrip dan artifak di sini.

Siang yang Panjang

Semasa khusyuk mengamati rama-rama dan lebah berterbangan meniti bunga, kami terbau sesuatu. Bagaikan bau bangkai atau daging busuk. Anehnya bau itu datang dari sekuntum bunga besar berwarna ungu yang dikelilingi lalat. Bunga ini dipanggil Draunculus Vulgaris Dragon Aru. Ia digunakan sebagai ubat, juga untuk menjauhkan orang ramai atau pencuri. Dan di Jambatan George Washington yang teguh melintasi Sungai Hudson ke New Jersey (puncak tertinggi di pulau ini), kami menyaksikan panorama indah New Jersey.

Musim Panas di kota ini memang sungguh panas, mungkin berpunca dari Lautan Atlantik serta faktor pulau Manhattan yang dikelilingi air. Namun, kota ini amat bernyawa pada musim ini. Masa siangnya lebih panjang daripada musim-musim lain. Senjanya jam sembilan malam.

Segala pesta, konsert, karnival jualan kaki lima sangat meriah pada musim ini. Anak-anak kota ini suka bersantai menyerap cahaya matahari, berpiknik, barbeku, beriadah malah ada juga yang menganjurkan kelas di bawah pancuran cahaya mentari. Terhibur juga melihat tuan anjing menuntun sampai 10 ekor anjing sekali. Kadang-kadang anjing-anjing itu yang membawa tuannya berjalan, bukan sebaliknya!

Dari Broadway ke Chinatown Manhattan

Pertengahan tahun itu, rakan saya (yang penuh dengan gaya dan drama), Albert, dari Chicago datang ke New York untuk bercuti. Kami bertemu di Times Square, tempat paling sesak di Kota New York ini. Di sini terdapat MTV, NBC dan studio-studio besar lain. Albert ingin menontonbroadway show lalu kami membeli tiket HairSpray (harganya lebih murah daripada dibeli di Box Office Broadway) dan kami duduk di barisan 10 dari pentas!

Selepas broadway show, kami ke Muzium Tenement. Di kota New York saja terdapat sebanyak lebih daripada 80 buah muzium dan 60 sahaja terletaknya di pulau Manhattan! Muzium Tenement pada masa dulunya adalah tempat tinggal seramai 7000 pendatang dari 20 negeri asing antara tahun 1863 -1935. Di sinilah pekerja-pekerja tekstil dan keluarga mereka tinggal sebagai rumah subsidi pada era selepas revolusi industri di Amerika Syarikat. Ada bilik berisi ‘crib’ bayi lama, ampaian bergantung baju dan surat khabar dari era itu. Terasa seolah-olah berada di dalam kapsul masa. Dari situ kami langsung ke Chinatown Manhattan.

Selepas makan malam, Albert mengajak saya melepak lagi namun saya sudah kepenatan. Lalu dari tingkap teksi, Albert mengucapkan selamat tinggal. Bagaimana Albert masih bertenaga saya pun tak tahu. Mungkin penangan kopi Malaysia dari Chinatown tadi.

Musim Luruh adalah musim yang saya sangat gemari. Udaranya nyaman. Pokok-pokok juga bertukar warna merah keemasan berbancuh suasana romantik. Masa ini jugalah saya dapat merasa memakai trench coat baru yang dibeli di kedai vintaj di East Village awal tahun lalu. Suatu hari Daman mengajak saya berjumpa dia di Brooklyn. Kalau dipelawa ke Bryant Park untuk menyaksikan Fashion Week seronoklah juga. Brooklyn pun Brooklynlah, fikir saya bila lagi, lalu kami menuju Brooklyn Museum dan Promanade Brooklyn. Jambatan Brooklyn terbentang menjalar lebar terus ke pulau Manhattan. Bangunan-bangunan pencakar langit membiaskan pancaran neon, seolah-olah dalam mimpi. Potret malam terlalu indah, bagai dipetik daripada babak siri Sex and The City. Saya teruja lagi.

Namun di sepanjang Esplanade saya berasa sedih. Dalam beberapa bulan saja, meski dengan bau busuk, peminta sedekah berkeliaran, sampah berbukit dan bunyi bising, kota ini sudah dapat manawan hati saya. Perkara-perkara negatif seperti itu tidak menjadi masalah lagi kerana nilai-nilai menarik, unik lagi istimewa di Kota New York ini adalah jauh lebih besar daripada semua unsur negatif ini.

Tiba waktu untuk pulang ke Malaysia. Musim Sejuk dan suhu di kota ini di bawah tahap beku. Kelihatan air batu dan bintik-bintik kristal di luar tingkap dan tepi bangunan. Teksi sudah menunggu di bawah. Di dalam perut teksi, saya melihat ke luar, Kota New York semakin jauh meninggalkan saya. Alangkah bagusnya kalau saya dapat menunggu lama di sini. Mungkin dapat menikmati suasana Krismas dan menyambut tahun baru di Times Square ketika Kota New York diselubungi salji. Mungkin pada masa akan datang, mungkin tak lama lagi.


Teks: Mohammed Fauzi Hussein Nazri