Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyeru orang ramai supaya memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam usaha menyampaikan bantuan terhadap mangsa banjir di semua kawasan terjejas.

Menurut Lim, tindakan terhadap bencana banjir terdahsyat dalam sejarah negara ini bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi harus melibatkan usaha seluruh rakyat Malaysia.

“Begitupun apabila melihatkan skala bencana, ia perlu diketuai Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri, agar segala sumber digunakan untuk membantu mangsa dalam jangka masa segera,” ujarnya dalam kenyataan media.

Bagaimanapun, Kit Siang berkata, hanya satu daripada tiga objektif dalam misi bantuan banjir telah dicapai setakat ini, dan berharap dua lagi akan turut dilaksanakan.

“Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muyhiddin Yassin telah menyatakan bahawa walaupun pihak kerajaan telah menjangkakan banjir yang teruk tahun ini, skala musibah ini benar-benar mengejutkan pihak berkuasa kerana ia lebih dahsyat daripada yang dijangka, hingga mencabar semua perancangan dan persediaan pengurusan bencana.

“Keadaan yang kelam-kabut ini hanya boleh dibetulkan secepatnya jika Perdana Menteri mengetuai operasi bantuan bencana banjir, dengan memudahkan semua halangan birokrasi.

“Fokus saya dalam beberapa hari kebelakangan adalah pada tiga objektif. Pertama, meminta Perdana Menteri memendekkan percutiannya di Hawaii dan kembali ke Malaysia untuk bertindak dalam operasi bantuan bencana banjir.

“Kedua adalah untuk mengadakan mesyuarat tergempar Kabinet dalam masa 24 jam berkenaan bencana ini.

“Ketiga adalah untuk meminta Perdana Menteri dan Kabinet untuk mengisytiharkan status darurat untuk berdepan dengan musibah banjir paling dahsyat dalam sejarah negara ini supaya melipatgandakan usaha bantuan kepada mangsa di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan,” ujar beliau.

Kit Siang turut difahamkan mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa terdapat bekalan makanan yang mencukupi dan juga aset untuk menghantar barangan keperluan kepada mangsa banjir, namun cabarannya adalah kemampuan pasukan penyelamat untuk sampai ke tempat mangsa yang terperangkap.